Jumaat, 19 April 2024 | 8:45pm
Pemandu McLaren dari Britain, Lando Norris (kiri) menerima trofi selepas mengungguli sesi kelayakan acara pecut menjelang Grand Prix Formula Satu China di Litar Antarabangsa Shanghai hari ini. – Foto AFP

Norris nafikan Hamilton di Shanghai

SHANGHAI: Pecutan sepusingan memukau daripada pemandu McLaren, Lando Norris dalam cuaca buruk hari ini menafikan Lewis Hamilton petak utama bagi perlumbaan pecut Grand Prix China.

Hamilton berasakan dia sudah meraih petak utama di Shanghai dengan jentera Mercedes apabila catatan sepusingan Norris 1 minit 57.940 saat menggunakan tayar basah dipadamkan daripada rekod kerana melepasi had litar, namun ia secara dramatik disenaraikan semula seminit kemudian.

Fernando Alonso dengan jentera Aston Martin membuktikan pengalaman dan tipu helahnya untuk muncul di tangga ketiga dalam cuaca buruk dengan pendahulu kejuaraan Max Verstappen di tangga keempat.

Ia petak utama perlumbaan pecut kali kedua dalam karier Norris.

"Ia agak rumit, anda sering gementar berdepan sesi seperti ini," kata pemandu Inggeris itu.

Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton beraksi ketika pusingan kelayakan bagi perlumbaan pecut pada Grand Prix China di Litar Antarabangsa Shanghai hari ini. – Foto REUTERS
Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton beraksi ketika pusingan kelayakan bagi perlumbaan pecut pada Grand Prix China di Litar Antarabangsa Shanghai hari ini. – Foto REUTERS

"Anda perlu mengambil banyak risiko, menekan dan memanaskan suhu tayar.

"Anda hanya ada tiga pusingan. Dua pusingan pertama saya lepaskan kedua-duanya, jadi yang terakhir terlalu penting."

Rakan sepasukan Verstappen di Red Bull, Sergio Perez di tangga keenam, di celah-celah dua pemandu Ferrari, Carlos Sainz dan Charles Leclerc, yang berjaya mengelak jenteranya daripada terpusing.

"Ia bagaikan memandu di atas permukaan ais," kata Verstappen, yang mana catatan pusingan terakhirnya dipadamkan selepas terbabas ke batu kerikil di luar selekoh terakhir.

Hamilton mengharungi permulaan buruk pada 2024 namun jelas tidak sabar untuk bermula dari barisan hadapan.

"Terlalu gembira, sebaik saya nampak hujan turun saya menjadi teruja. Dalam cuaca kering kami tidak cukup pantas." – AFP

Berita Harian X