Khamis, 18 April 2024 | 8:34pm
Helmi akan berlumba di Zhuhai hujung minggu ini. - Foto ihsan ARRC
Helmi akan berlumba di Zhuhai hujung minggu ini. - Foto ihsan ARRC

Helmi sedar kekuatan Apiwath

KUALA LUMPUR: Pelumba Idemitsu Boon Siew Honda Racing Team, Helmi Azman menyifatkan pesaingnya dari Thailand, Apiwath Wongthananon sebagai pencabar utama dalam memburu kejayaan di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024.

Helmi yang terbabit dalam satu kemalangan sehingga tidak dapat meneruskan perlumbaan di Perlumbaan 2 Pusingan 1 di Thailand bulan lalu berkata, Apiwath adalah seorang pelumba yang mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa sekali gus menyediakan cabaran buat dirinya.

Justeru itu, Helmi akan memberikan penekanan yang tinggi bagi menghadapi Pusingan 2 musim yang dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Zhuhai, China pada hujung minggu ini.

"Senarai pelumba agak kuat pada musim ini terutama seperti Apiwath yang juga pencabar terbesar saya untuk musim ini. Saya menjangkakan, ia akan menjadi satu cabaran buat saya sekiranya berdasarkan pengalaman dimilikinya di pentas antarabangsa.

"Apapun, ia boleh dianggap sebagai pencetus semangat untuk saya melakukan sesuatu yang lebih baik walaupun daripada sudut berbeza, ia juga satu tekanan buat saya. Daripada sudut jentera, prestasinya boleh dipertingkatkan lagi.

"Ada kuasa tambahan dalam pecutan dan ia satu kelebihan buat kami untuk bertarung secara kompetitif," kata Helmi yang beraksi dalam kelas SuperSports 600cc.

Pada Pusingan 1 di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, pertengahan bulan lalu, Helmi menamatkan Perlumbaan 1 di tempat kedua di belakang Apiwath yang mewakili pasukan Yamaha Tekhne Racing Team Asia sebelum tidak menamatkan Perlumbaan 2 kerana terbabit dalam kemalangan.

Selepas berakhirnya Pusingan 1, Helmi kini berada di kedudukan kelima dalam carta keseluruhan SuperSports 600cc manakala Apiwath berada di kedudukan utama dengan 50 mata.

"Litar Zhuhai adalah sebuah litar yang baik dan saya menikmati perlumbaan di sana. Saya pernah menamatkan saingan di litar ini dengan baik dan harap boleh dapat memperoleh momentum sama seperti dulu," kata Helmi yang menamatkan dua perlumbaan musim lalu di Zhuhai masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

"Saya mahu menang jadi saya akan mencari jalan untuk mengulangi kejayaan di sana. Pasukan sudah berusaha sebaik mungkin untuk perlumbaan di sini dan kami akan terus meneruskan usaha untuk mendapatkan sebanyak mata yang mungkin," katanya.

Berita Harian X