Rabu, 17 April 2024 | 5:33pm
Afif ketika Pusingan 1 di Thailand sebelum ini. Foto FB Ahmad Afif
Afif ketika Pusingan 1 di Thailand sebelum ini. Foto FB Ahmad Afif

Afif sasar podium di Litar Zhuhai

KUALA LUMPUR: Kancah saingan di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) diakui bagaikan satu 'dunia' lain buat jaguh Kejuaraan Cub Prix Malaysia, Ahmad Afif Amran.

Afif yang mewakili pasukan Pitsbike OneWay JRT Tech2 Racing Team di pentas Asia berkata, penyertaannya dalam kelas Underbone 150 (UB150) pada musim ini menyaksikan dirinya perlu menyaingi pencabar antarabangsa yang lebih berkaliber.

Justeru itu, menjelang Pusingan 2 musim 2024 yang dijadual berlangsung minggu ini, Afif bersama pasukan perlu bijak mengatur strategi bagi menawan Litar Zhuhai, China bagi membolehkan dirinya berada di pentas podium.

"Saingan Asia jauh berbeza berbanding tempatan kerana ia membabitkan ramai pelumba berkaliber dari rantau Asia. Mereka masing-masing mempunyai pengalaman berbeza-beza di peringkat tempatan.

"Saya memperoleh banyak pengetahuan dan pandangan daripada penyertaan saya di ARRC (sebelum ini) dan semua itu digunakan bagi mengoptimumkan lagi prestasi saya di peringkat kebangsaan.

"Apapun, saya gembira kerana dapat mengambil bahagian dalam saingan UB150 musim ini. Namun saya sedar akan cabaran terutama di kalangan pelumba dari Indonesia yang mungkin lebih banyak menyertai saingan sebelum ini," kata Afif.

Pada pusingan pembuka tirai di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand sebelum ini, Afif menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-13 sebelum bangkit menemui garisan penamat selaku pemenang di Perlumbaan 2.

"Sekiranya dilihat dari Perlumbaan 1 Pusingan 1, saya agak tidak bernasib baik dan strategi kami tidak membuahkan hasil kerana saya terbabit dalam satu kemalangan pada Selekoh terakhir.

"Untuk Perlumbaan 2, saya bersama pasukan mengatur strategi lain iaitu cuba mengambil langkah lebih awal berada di depan dan ia berhasil," katanya.

Daripada sudut jentera, Afif berkata, jentera Yamaha Y15 ZR digunakannya masih belum berada di tahap memuaskan dan mereka sedang mencari penyelarasan terbaik.

"Pasukan saya masih baharu dan banyak lagi perkara yang perlu dilakukan apabila membabitkan jentera. Litar Zhuhai adalah litar teknikal dan mencari penyelarasan sesuai, begitu penting di sini. Kami memerlukan strategi terbaik.

"Sasaran saya adalah menamatkan perlumbaan di kedudukan terbaik dan mencari sebanyak mana mata yang boleh. Sasarannya adalah berada dalam kelompok tiga terbaik," katanya.

Afif bakal memasuki Pusingan 2 di Zhuhai selaku pelumba ketiga terbaik dalam carta keseluruhan selepas mengumpul 28 mata di Pusingan 1.

Pelumba UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team, Nazirul Izzat Md Bahauddin memimpin carta dengan 31 mata manakala pelumba Indonesia dari pasukan Racetech Sixty Racing Team, Wahyu Aji Trilaksana di tempat kedua, 30 mata.

Berita Harian X