Rabu, 10 April 2024 | 1:55pm
Danial Syahmi ketika perlumbaan di Sepang. - Foto IG Danial Syahmi
Danial Syahmi ketika perlumbaan di Sepang. - Foto IG Danial Syahmi

Danial Syahmi sudah biasa sambut Aidilfitri di perantauan

KUALA LUMPUR: Meraikan sambutan Aidilfitri di perantauan bukan sesuatu yang asing buat pelumba negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril.

Kali ini, pelumba pasukan Asia Talent Team itu berada di Taragona, Sepanyol dalam persiapan menghadapi pusingan pembuka tirai Kejuaraan Dunia JuniorGP 2024 di Litar Misano, Itali minggu depan.

"Ini tahun ketiga saya beraya di perantauan, jauh dari keluarga saya," kata Danial Syahmi dalam satu hantarannya di Facebook.

"Sudah pasti saya rindukan suasana raya di Malaysia tetapi saya memilih untuk karier saya.

"Minggu depan adalah pusingan pertama di JuniorGP. Doakan kejayaan saya dan saya akan berikan yang terbaik."

Pada tahun lalu, Danial Syahmi menamatkan kempen saingan di tempat ke-20 keseluruhan dengan 21 mata dengan pelumba dari Sepanyol, Angel Piqueras muncul juara keseluruhan dengan 220 mata.

Pada tahun pertamanya di kejuaraan berkataan iaitu pada 2022, pelumba berusia 22 tahun itu menamatkan kempen di tempat ke-17 dengan mengumpul 30 mata keseluruhan.

Kejuaraan Dunia JuniorGP 2024 berlangsung sebanyak tujuh pusingan membabitkan beberapa litar terkemuka seperti Litar Estoril di Portugal, Catalunya (Sepanyol), Aragon (Sepanyol) dan Ricardo Tormo (Sepanyol).

Berita Harian X