Ahad, 7 April 2024 | 8:33pm
Syarifuddin Azman atau Damok. - Foto ihsan FB Syarifuddin Azman.
Syarifuddin Azman atau Damok. - Foto ihsan FB Syarifuddin Azman.

Damok tak pandang rendah saingan ARRC

KUALA LUMPUR: Bekas pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman sama sekali tidak memandang rendah saingan di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) - kejuaraan yang disertainya pada musim ini.

Syarifuddin yang menyertai kelas AP 250cc di perlumbaan Asia kali ini berkata, setiap kejuaraan mempunyai cabaran serta prestij tersendiri dan dia tidak boleh memandang ringan akan tanggungjawab diberikan pasukan Idemitsu Boon Siew Honda (BSH) Racing Team kepadanya.

"Kalau ARRC ini, saya tak boleh kata mudah sebab di setiap kejohanan ada sahaja persaingan dalam setiap kategori disertai. Jadi saya perlu tenang dan menunjukkan prestasi dari satu perlumbaan ke satu perlumbaan," kata Syarifuddin atau dikenali sebagai Damok itu.

"Buat masa ini saya masih bergelut dengan jentera. Jadi saya tak nampak di mana (tahap prestasi) pencabar dan saya rasa semuanya berada di tahap sama, cuma pengalaman membezakan antara kami.

"Damok hanya memperoleh satu musim pengalaman dalam kelas Moto3 di Kejuaraan Motosikal Dunia secara sepenuh masa pada tahun lalu bersama pasukan MT Helmets MSI.

Pelumba berusia 22 tahun itu menamatkan kempen 2023 di tempat ke-28 dengan lima mata selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 di Grand Prix (GP) Argentina.

Mengulas lanjut mengenai penyertaan di ARRC tahun ini, Damok yang menamatkan dua perlumbaan Pusingan 1 ARRC masing-masing di tempat keempat dan ketiga di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand berkata, dia tidak meletakkan sebarang harapan tinggi pada musim pertamanya itu.

"Untuk perjalanan tahun ini, saya tak letak sasaran tinggi, jadi hanya boleh cakap yang saya ingin berada di podium pada setiap perlumbaan. Saya dan pasukan sedang mencari pelarasan jentera untuk berada di tahap sepatutnya bagi menyaingi kelompok depan.

"Saya dan pasukan tahu di mana kelemahan jentera kami sendiri dan kami perlu terus berusaha sebelum perlumbaan di China nanti," kata Syarifuddin yang selepas ini bakal menyertai Pusingan 2 musim di Litar Antarabangsa Zhuhai, China dari 19 hingga 21 April ini.

Berita Harian X