Rabu, 3 April 2024 | 4:41pm
Qabil Irfan ketika sesi latihan di Trek Valencia, Sepanyol. - Foto ihsan ZK Racing
Qabil Irfan ketika sesi latihan di Trek Valencia, Sepanyol. - Foto ihsan ZK Racing

Qabil tak sabar beri cabaran di Jerez

KUALA LUMPUR: Pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan sudah bersedia untuk mencabar barisan pelumba antarabangsa pada pusingan pembuka tirai Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2024 di Litar Jerez, hujung minggu ini.

Qabil yang juga wakil tunggal negara di kejohanan berkenaan bakal menyertai perlumbaan kelas Moto4 dan baginya, dia kini sudah memperoleh masa untuk menguji dan menyesuaikan diri bersama jentera dalam satu sesi ujian bulan lalu.

"Ini pengalaman pertama saya di Eropah, kebiasaannya saya ke sini untuk perlumbaan sahaja. Persiapan saya, saya sudah melakukan latihan bersama jentera dan buat latihan kecergasan dan saya juga berlatih seperti biasa pada bulan Ramadan ini.

"Sebelum ini, saya menyertai sesi ujian di Jerez. Saya yakin dengan motosikal dan juga pengurusan pasukan. Apapun, saya kena belajar lagi dan harapan saya supaya dapat memberikan saingan dalam kelompok depan dan menang," kata Qabil yang bakal mewakili pasukan dari Sepanyol, VHC Frando Racing.

Sebelum ini, langkah ZK Racing yang dikendali bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin dan juga Litar Antarabangsa Sepang (SIC) ke ESBK adalah untuk melebarkan sayap karier pelumba muda berkenaan selepas menunjukkan prestasi cemerlang terutama ketika muncul juara dunia di Kejuaraan Siri Dunia MiniGP 2023.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya meletakkan harapan tinggi ke atas pelumba muda berkenaan selain optimis dengan kemampuan anak jati Terengganu itu.

"Bukan senang untuk seorang pemuda seperti Qabil, umur baharu cecah 12 tahun tetapi berpeluang berlumba di Eropah. Harapan kami agak tinggi untuk Qabil buat yang terbaik. Di bawah Zulfahmi, kami yakin Qabil akan dapat kecemerlangan sepatutnya.

"Untuk KPI, di tahun pertama, kami anggar berada dalam kelompok 15 terbaik. Dia juga akan berlumba dalam saingan Siri MiniGP malaysia 190cc," kata Shafriman ketika ditemui selepas Iftar Ramadan SIC 2024, semalam.

Berita Harian X