Khamis, 28 March 2024 | 10:04am
Pemandu Red Bull, Max Verstappen menjadi pilihan utama Mercedes untuk menggantikan Lewis Hamilton musim depan. – Foto REUTERS
Pemandu Red Bull, Max Verstappen menjadi pilihan utama Mercedes untuk menggantikan Lewis Hamilton musim depan. – Foto REUTERS

Verstappen calon utama ganti Hamilton

LONDON: Max Verstappen berada di senarai teratas Mercedes sebagai calon pengganti juara dunia Formula Satu tujuh kali Lewis Hamilton pada 2025, kata bos pasukan Toto Wolff.

Juara dunia tiga kali itu mempunyai kontrak bersama Red Bull hingga 2028 namun masa depannya di pasukan itu diragui susulan hubungan retak antara bapanya Jos dan prinsipal pasukan Christian Horner.

Mercedes kehilangan Hamilton hujung musim ini kepada Ferrari, dengan pemenang GP Australia Ahad lalu, Carlos Sainz kehilangan tempatnya.

"Kami mempunyai satu slot kosong, satu-satunya dalam pasukan utama – kecuali Max memutuskan dia pergi dan kemudian slot itu tidak kosong lagi bersama kami," kata Wolff kepada Fox Sports Australia dalam satu temu ramah di Melbourne.

Temu ramah itu, yang dijalankan selepas sesi kelayakan, tidak begitu dihiraukan ketika itu sebelum ia menjadi tumpuan ramai.

Ditanya jika Verstappen menjadi pilihan pertama, Wolff membalas: "Ya. Anda lihat tahap persembahannya tetapi saya tidak mahu memandang rendah pemandu lain juga."

Wolff cuba mengikat Verstappen ketika remaja sebelum dia menyertai Red Bull namun Wolff gagal menawarkannya kerusi F1 serta-merta.

Warga Australia itu berkata, beliau mempunyai hubungan baik dengan Jos Verstappen dan bertemunya di Vienna untuk membincangkan kemungkinan masa depan tetapi pemandu itu sudah mendapat tawaran Red Bull ketika itu.

Wolff turut menyebut juara dunia dua kali Fernando Alonso, Sainz dan pemandu rookie F2 yang disokong Mercedes, Kimi Antonelli sebagai calon pilihan menggantikan Hamilton. – REUTERS

Berita Harian X