Ahad, 24 March 2024 | 11:53pm
Pelumba Prima Pramac Racing, Jorge Martin dari Sepanyol meraikan kemenangannya di podium selepas memenangi perlumbaan MotoGP pada Grand Prix Portugal di Litar Antarabangsa Algarve di Portimao malam ini. – Foto REUTERS

Martin ungguli MotoGP Portugal

PORTIMAO, Portugal: Jorge Martin meluru ke depan pada pusingan pertama dan tidak menoleh ke belakang sebelum menjuarai MotoGP Portugal malam ini, perlumbaan kedua musim baharu.

Enea Bastianini di tangga kedua manakala pelumba rookie remaja Pedro Acosta di tangga ketiga.

Martin merampas kedudukan teratas dalam kejuaraan dunia daripada juara dunia Francesco Bagnaia yang terkeluar daripada persaingan selepas bertembung dengan Marc Marquez pada babak akhir perlumbaan.

Bastianini, dengan jentera pengeluar Ducati, bermula di petak utama namun Martin, ketiga ketika perlumbaan dimulakan, pantas mendahului dengan jentera Pramac Ducati dan mendominasi perlumbaan itu.

Martin, naib juara dunia di belakang Bagnaia musim lalu, mengalami kemalangan ngeri di Portimao pada 2021 yang menyaksikannya memerlukan beberapa pembedahan untuk pulih.

Pelumba Ducati dari Sepanyol, Jorge Martin (kiri) bersaing dengan pelumba Aprilia, Maverick Vinales ketika perlumbaan Grand Prix Portugal di Litar Antarabangsa Algavre di Portimao malam ini. – Foto AFP

Pelumba berusia 19 tahun, Acosta, bersama pasukan Gasgas-Tech3 hanya menduduki tangga ketujuh ketika kelayakan tetapi dia mengatasi Brad Binder dari KTM dan kemudian juara MotoGP dunia enam kali Marquez yang menunggang Fresini Ducati, untuk melonjak ke tangga kelima.

Juara dunia dua kali dari Itali, Bagnaia berjaya mengekang asakan Acosta beberapa ketika tetapi penunggang muda Sepanyol itu memintasnya dan meraih podium sulung selepas Maverick Vinales tersingkir kemalangan.

Bagnaia, yang memenangi perlumbaan pembuka tirai musim dan menang di Algarve pada 2021 dan 2023, memburu kemenangan ke-20, tetapi Martin kekal selesa di depan kelompok pengejar.

Dengan MotoGP Argentina dibatalkan, perlumbaan berikutnya adalah di Austin, Texas, Amerika Syarikat dari 12 hingga 14 April depan. – AFP

Jorge Martin menjuarai MotoGP Portugal malam ini, perlumbaan kedua musim baharu. - Foto Reuters
Jorge Martin menjuarai MotoGP Portugal malam ini, perlumbaan kedua musim baharu. - Foto Reuters

Berita Harian X