Ahad, 24 March 2024 | 12:12am
Pelumba Ducati dari Itali, Enea Bastianini tenang mengambil selekoh ketika pusingan kelayakan MotoGP Portugal di Litar Antarabangsa Algarve, Portimao malam ini. – Foto AFP
Pelumba Ducati dari Itali, Enea Bastianini tenang mengambil selekoh ketika pusingan kelayakan MotoGP Portugal di Litar Antarabangsa Algarve, Portimao malam ini. – Foto AFP

Bastianini sambar petak utama MotoGP Portugal

PORTIMAO, Portugal: Pelumba Itali, Enea Bastianini meraih petak utama buat kali pertama dengan jentera Ducati hari ini apabila mencatat masa terpantas pada kelayakan MotoGP Portugal, perlumbaan kedua musim ini.

Penunggang berusia 26 tahun itu mencatat 1 minit 37.706 saat di litar Portimao untuk berakhir 0.082s di depan Maverick Vinales dari Aprilia manakala seorang lagi pelumba Sepanyol, Jorge Martin muncul ketiga terbaik 0.106s buat Ducati.

"Saya amat berpuas hati. Sejak Jumaat (semalam), kami sudah lihat jentera ini berpotensi untuk bersaing pada hujung minggu ini," kata Bastianini, yang mengalami patah bahu ketika satu kemalangan teruk di Portugal tahun lalu.

"Ia petak utama pertama saya bersama Ducati jadi ia fantastik, ia membuatkan saya benar-benar gembira selepas insiden pahit di sini tahun lalu.

"Saya yakin kerana saya fikir kami masih boleh meningkat sebelum acara pecut."

Tiga pelumba terbaik pada pusingan kelayakan MotoGP Portugal, Enea Bastianini (tengah), Maverick Vinales (kiri) dan Jorge Martin di Litar Antarabangsa Algarve, Portimao malam ini. – Foto AFP
Tiga pelumba terbaik pada pusingan kelayakan MotoGP Portugal, Enea Bastianini (tengah), Maverick Vinales (kiri) dan Jorge Martin di Litar Antarabangsa Algarve, Portimao malam ini. – Foto AFP

Di litar Algarve yang berbukit, penunggang yang terkenal dengan nama julukan 'La Bestia' (The Beast) itu menyerlah berbanding rakan sepasukan dan senegara Francesco Bagnaia, pendahulu kejuaraan dunia selepas kemenangannya pada perlumbaan pembuka tirai musim di Qatar.

Penyandang juara dunia dua kali itu akan bermula di barisan kedua selepas mencatat masa keempat terpantas di depan pelumba Australia, Jack Miller (KTM) dan pelumba Itali, Marco Bezzecchi (Ducati-VR46). – AFP

Berita Harian X