Khamis, 21 March 2024 | 3:28pm
Aksi Adam ketika Pusingan 1 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2024. - Foto PETRONAS MIE Racing Team
Aksi Adam ketika Pusingan 1 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2024. - Foto PETRONAS MIE Racing Team

Adam positif bangkit di Catalunya

KUALA LUMPUR: Pusingan 1 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2024 tidak berlangsung seperti diinginkan Adam Norrodin tetapi pelumba itu menegaskan masih ada ruang untuknya meningkatkan prestasi pada Pusingan 2 di Catalunya, hujung minggu ini.

Adam menamatkan dua perlumbaan di Phillip Island, Australia masing-masing di tempat ke-20 dan 19 pada 23 hingga 25 Februari lalu dan ia jelas bukan keputusan diinginkan pelumba berusia 25 tahun berkenaan pada perlumbaan sulungnya dalam kelas WorldSBK.

Beberapa hari selepas itu, Adam dan pasukan PETRONAS MIE Racing menjalani ujian tertutup selama dua hari di litar Catalunya dan mengakui ia adalah satu sesi berguna untuknya memperoleh lebih banyak masa bersama jentera Honda CBR1000 RR-R.

"Ujian itu adalah satu peluang yang bagus untuk lebih memahami jentera selepas pusingan di Phillip Island.

"Saya sangat gembira dengan ujian pada pagi hari pertama tetapi kami kemudian mengubah beberapa perkara di sebelah petang yang bagi saya kurang efektif.

"Keesokannya, kami membuat beberapa perubahan dan melengkapkan banyak pusingan dan saya berasa sangat selesa... ini kerana saya juga sudah mengubah corak latihan saya sejak pusingan di Phillip Island dengan sasaran meningkatkan fizikal.

"Saya dapat merasa peningkatan, jadi itu adalah satu perkara positif menjelang perlumbaan nanti. Saya dapat merasakan potensi yang ada, kami hanya perlu menggabungkannya," katanya.

Adam sebelum ini mewakili pasukan sama dalam kelas WorldSSP dan diangkat untuk menggalas cabaran utama di saingan WorldSBK bersama pelumba United Kingdom, Tarran Mackenzie.

Berita Harian X