Ahad, 17 March 2024 | 8:20pm
Hafizh meraikan kejayaan di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand. - Foto ihsan JDT Racing Team
Hafizh meraikan kejayaan di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand. - Foto ihsan JDT Racing Team

JDT Racing Team raih podium sulung di ARRC

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) Racing Team meraih podium pertama dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 menerusi pelumbanya, Hafizh Syahrin Abdullah, hari ini.

Hafizh menebus kekecewaan gagal menamatkan perlumbaan pertama, semalam dengan mengakhiri perlumbaan kedua, hari ini di tempat kedua dalam kategori Asia Superbike 1000cc di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand.

Bekas pelumba MotoGP negara itu gagal menamatkan perlumbaan semalam selepas berdepan masalah teknikal pada jenteranya.

Bagaimanapun, dia mempamerkan tunggangan konsisten, hari ini termasuk satu ketika berjaya memimpin perlumbaan sebelum dipintas pelumba pasukan Honda Asia-Dream Racing Astemo, Andi Farid Izdihar yang kemudiannya melintasi garisan penamat selaku juara.

Rakan sepasukan Andi, Nakarin Atiratphuvapat mengakhiri perlumbaan di tempat ketiga.

Pada perlumbaan pertama, semalam, saingan diungguli seorang lagi pelumba kebangsaan, Azlan Shah Kamaruzaman yang mewakili TKKR BMW Racing Team diikuti Andi kedua manakala Md Zaqhwan Zaidi (Honda Asia-Dream Racing Astemo) ketiga.

Berita Harian X