Khamis, 14 March 2024 | 4:28pm
Nazirul Izzat ketika muncul juara pada musim lalu. - Foto FB Nazirul Izzat
Nazirul Izzat ketika muncul juara pada musim lalu. - Foto FB Nazirul Izzat

Nazirul Izzat idam podium di Buriram

KUALA LUMPUR: Pada musim lalu, Litar Antarabangsa Buriram, Thailand nyata kurang memihak kepada juara kelas Underbone 150 (UB15) Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim lalu, Md Nazirul Izzat Bahauddin.

Saingan pembuka tirai kempen 2024 dijadual berlangsung pada hujung minggu ini dan bagi pelumba UMA Racing YAMAHA Maju Motor Asia Team itu, dia sudah melakukan persiapan terbaik dalam usaha mempertahankan gelarannya.

"Jujurnya, ia bukan sesuatu yang mudah untuk mempertahankan gelaran. Oleh itu, daripada memikirkan mengenai mempertahankan gelaran, saya lebih selesa untuk memberi tumpuan penuh kepada jentera dan juga perlumbaan.

"Sekiranya kamu bertanya kepada saya, tidak ada banyak perbezaan dengan persaingan musim lalu kerana semua pelumba berada di tahap persaingan yang sama. Apa yang penting adalah mempunyai pemikiran strategi yang tepat, berusaha ke arahnya dan memastikan yang saya melakukan lebih baik berbanding sebelumnya.

"Sudah tentu, saya tidak kata yang strategi saya akan 100 peratus menjadi tetapi saya akan cuba sebaik mungkin. Kita tak boleh banyak memperbincangkan mengenai pelarasan atau perubahan jentera kerana kami masih perlu mengujinya.

"Tahun lalu, saya tidak begitu menyerlah di sini (Litar Antarabangsa Buriram), jadi saya ingin memastikan pada kali ini, saya mempunyai peluang lebih baik untuk berada di pentas podium.

"Sasaran saya adalah berada di pentas podium dan sekali lagi mempertahankan gelaran juara," kata Nazirul Izzat.

Kempen 2024 bakal berlangsung sebanyak enam pusingan bermula di Litar Antarabangsa Buriram minggu ini sebelum Litar Antarabangsa Zhuhai, China menjadi venue kedua.

Litar Antarabangsa Sepang menjadi lokasi bagi Pusingan 5 pada 13 hingga 15 September nanti sebelum kemuncak musim kembali ke Litar Antarabangsa Buriram, 6 hingga 8 Disember.

Berita Harian X