Rabu, 13 March 2024 | 5:23pm
Damok akan berlumba di ARRC musim ini bersama pasukan BSH Racing Team.
Damok akan berlumba di ARRC musim ini bersama pasukan BSH Racing Team.

BSH Racing Team sambar Damok

KUALA LUMPUR: Pelumba negara Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok bakal menyertai perlumbaan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini.

Perkara itu disahkan menerusi kenyataan rasmi Idemitsu Boon Siew Honda (BSH) Racing Team hari ini sekali gus menjawab teka-teki tentang nasib pelumba negara itu yang tidak lagi beraksi dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) bagi kelas Moto3.

Beliau akan beraksi dalam kelas AP 250cc bersama rakan sepasukan Md Irfan Haykal.

Dalam pada itu, Md Zaqhwan Zaidi terus diberi kepercayaan beraksi dalam kelas perdana ASB1000 bersama jentera baharu Honda CBR1000RRR 2024 sementara Md Helmi Azman dan Azroy Hakeem Anuar bakal beraksi dalam kelas SS600cc bersama jentera Honda CBR600RR.

Pusingan pembukaan ARRC itu berlangsung pada 15-17 Mac ini di Litar Antarabangsa Chang, Thailand.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH Mitsuharu Funase berkata pihaknya meletakkan sasaran tinggi bagi memburu pelbagai kejayaan sekali gus menjadikan 2024 sebagai tahun kejayaan pasukan itu.

"Kami sasarkan untuk muncul juara keseluruhan kelas SS600. Pelumba kami mempunyai pengalaman dan semangat juang tinggi manakala Syarifuddin dalam kelas AP250 menjanjikan aksi konsisten," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X