Ahad, 10 March 2024 | 8:57am
Max Verstappen memenangi Grand Prix Arab Saudi dari petak utama perlumbaan di Litar Jeddah Corniche, Jeddah. - Foto AFP
Max Verstappen memenangi Grand Prix Arab Saudi dari petak utama perlumbaan di Litar Jeddah Corniche, Jeddah. - Foto AFP
Pemandu rookie Ferrari, Oliver Bearman mencuri tumpuan apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dan dinobatkan Pemandu Terbaik Grand Prix Arab Saudi di Jeddah. - Foto AFP
Pemandu rookie Ferrari, Oliver Bearman mencuri tumpuan apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dan dinobatkan Pemandu Terbaik Grand Prix Arab Saudi di Jeddah. - Foto AFP

Verstappen menang GP Saudi, Bearman curi tumpuan

JEDDAH: Max Verstappen memenangi Grand Prix Arab Saudi dari petak utama untuk Red Bull meneruskan dominasi di awal musim Formula Satu dengan kemenangan satu dua dalam dua perlumbaan pertama.

Sergio Perez di tempat kedua perlumbaan di Jeddah Corniche, pemenang tahun lalu itu melintasi garisan penamat 13.643 saat di belakang rakan sepasukannya, juara dunia tiga kali yang kini mempunyai kelebihan 15 mata di tangga teratas.

Charles Leclerc dari Ferrari di tempat ketiga, merakam pusingan terpantas untuk merebut podium pertamanya musim ini, tetapi pemandu baharu pasukannya, Oliver Bearman lebih mencuri tumpuan apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dan dinobatkan Pemandu Terbaik.

Ini adalah kali pertama buat Verstappen, pemegang rekod kemenangan 19 daripada 22 perlumbaan tahun lalu, memenangi dua perlumbaan di awal musim. Dia turut menang 19 daripada 20 perlumbaan terakhirnya.

"Secara keseluruhan, hujung minggu menakjubkan untuk pasukan dan diri saya. Saya rasa selesa dengan kereta dan ketika perlumbaan," kata Verstappen.

Ia adalah kemenangan kesembilan berturut-turut buat Verstappen, bermula dari perlumbaan di Jepun pada September, dan yang ke-56 dalam karier pemandu 26 tahun Belanda itu.

Kemenangan itu juga adalah podium ke-100 buat Verstappen manakala kemenangan ke-115 Red Bull melonjak mereka di depan Williams untuk tangga keempat dalam senarai sepanjang zaman.

Pemandu Britain, Bearman yang membuat penampilan sulungnya dalam perlumbaan F1 pada usia 18 tahun 305 hari, bermula di petak ke-11 dan pemandu rookie termuda Ferrari itu mencuri tumpuan dengan pemanduan cemerlang ketika menggantikan Carlos Sainz yang menjalani pembedahan apendiks.

Pemandu F1 termuda British itu juga adalah pemandu ke-66 sejak permulaan kejuaraan pada tahun 1950, mengutip mata pada penampilan sulung. - REUTERS

Berita Harian X