Rabu, 6 March 2024 | 12:15pm
Litar Pasir Gudang pernah menjadi hos Kejuaraan Motosikal Grand Prix Dunia pada 1998 selain Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS. – Foto Two Wheels Motor Racing
Litar Pasir Gudang pernah menjadi hos Kejuaraan Motosikal Grand Prix Dunia pada 1998 selain Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS. – Foto Two Wheels Motor Racing

Johor rancang buka semula Litar Pasir Gudang

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor merancang untuk membuka semula Litar Pasir Gudang atau Johor Circuit yang ditutup sejak sembilan tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Hairi Mad Shah berkata beliau bersama Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi akan menghadap Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim dalam masa terdekat bagi mempersembahkan perancangan untuk membuka semula litar itu.

Beliau berkata, pembukaan semula litar berkenaan yang akan menelan kos tinggi dapat menjadi gelanggang latihan Johor Darul Ta'zim (JDT) Racing Team yang disertai pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah.

"Apabila ada JDT Racing Team di Johor, ramai yang bertanya mengenai Litar Pasir Gudang, namun (mengikut) kajian semula, ia akan babitkan kos yang agak tinggi untuk baik pulih.

"Jadi, insya-Allah saya dan Menteri Besar akan menghadap Pemangku Sultan Johor untuk dipertimbangkan litar ini dibuka semula bagi latihan Hafizh Syahrin dan penggiat permotoran dalam masa terdekat," katanya pada sidang media selepas majlis sumbangan kotak makanan Yayasan Sultan Ibrahim Johor dan penyerahan bantuan kembali ke sekolah Dewan Undangan Negeri Larkin, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin pembukaan semula litar itu.

Mohd Hairi turut berharap pembukaan semula litar itu dapat merancakkan lagi sukan permotoran, sekali gus menjadi lokasi pilihan penggiat sukan itu.

Oktober lalu, JDT melebarkan sayap dengan menceburi sukan permotoran bersama Hafizh yang akan bersaing dalam Kejuaraan Motosikal Asia 2024.

Litar Pasir Gudang yang dibina pada 1986 ditutup sejak 2016 untuk pengubahsuaian. – BERNAMA

Berita Harian X