Rabu, 21 Februari 2024 | 4:43pm
Azlan Shah mahu menyertai Kejuaraan Endurance Dunia (EWC) pada 2025. - Foto FB Azlan Shah Kamaruzaman
Azlan Shah mahu menyertai Kejuaraan Endurance Dunia (EWC) pada 2025. - Foto FB Azlan Shah Kamaruzaman

Azlan Shah mahu sertai EWC

KUALA LUMPUR: Hala tuju juara kelas ASB1000cc 2019, Azlan Shah Kamaruzaman di pentas Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 dilihat masih samar di saat dirinya sudah menetapkan musim ini sebagai tahun terakhirnya beraksi di peringkat Asia.

Pelumba berpengalaman berusia 40 tahun itu berkata, dia sudah mengatur perancangan menyertai Kejuaraan Endurance Dunia (EWC) pada 2025 selain sudah bersedia meninggalkan pentas Asia pada tahun ini sekiranya tidak mendapat pasukan.

"Buat masa ini, masih menunggu jawapan yang belum pasti," kata Azlan Shah yang sebelum ini bersama pasukan TKKR Racing Team dan muncul selaku juara sulung kelas perdana ASB1000cc yang mula diperkenalkan pada 2019.

TKKR Racing Team dalam hantaran di Facebook baru-baru ini, mendedahkan kegagalan mereka mendapatkan penaja dan ia mungkin menyebabkan perjalanan pasukan di peringkat Asia terhenti untuk musim 2024 namun akan tetap berusaha sebelum tirai saingan musim membuka tirainya secara rasmi pada pertengahan bulan depan.

"Kalau tak ada tempat (tahun ini), saya akan bersara awal di pentas Asia. Saya meletakkan sasaran umur 40 sebagai had maksimum untuk beraksi di Asia. Kalau masuk umur 41, agak sukar untuk menyaingi pelumba muda.

"Jadi lebih baik saya menyertai perlumbaan endurance. Badan pun sudah tak kuat pada masa ini... sebenarnya kita boleh (menyaingi pelumba muda) tetapi usaha kena dua kali ganda untuk bersaing dengan pelumba muda terutama dari segi stamina," kata Azlan Shah.

Mengulas lanjut mengenai penyertaannya di EWC, Azlan Shah berkata, dia sudah mempunyai perancangan itu sejak tahun lalu lagi ketika bersama pasukan Team Frontier di perlumbaan 8 Jam Suzuka.

"Tahun ini saya akan menyertai perlumbaan 8 Jam Suzuka juga dan kalau tak ada apa-apa, mungkin saya akan menyertai EWC secara musim penuh pada 2025 nanti," kata Azlan Shah yang juga pemilik AS25 Academy Racing Team yang mula membuat penampilan dalam kelas WIRA di Kejuaraan Cub Prix Malaysia pada 2022.

Berita Harian X