Isnin, 19 Februari 2024 | 5:56pm
TKKR Racing Team sedang melakukan persiapan bagi menghadapi musim ini. - Foto ihsan TKKR Racing TeAM.
TKKR Racing Team sedang melakukan persiapan bagi menghadapi musim ini. - Foto ihsan TKKR Racing TeAM.

TKKR belum dapat penaja

KUALA LUMPUR: Masa semakin mencemburui pasukan TKKR Racing Team bagi mendapatkan penaja menjelang kempen Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024.

Namun begitu, pasukan juara berganda bagi kelas Asia Superbike 1000cc (ASB1000)2023 itu tetap optimis mereka akan terus berusaha mencari penaja sebelum musim 2024 membuka tirainya secara rasmi di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand pertengahan bulan depan.

Dalam hantaran di Facebook, pasukan itu mendedahkan mereka gagal mendapatkan penaja dan ia mungkin menyebabkan perjalanan TKKR Racing Team di peringkat Asia terhenti untuk tahun ini.

"Sehingga hari ini, kami masih gagal untuk mendapatkan penaja untuk beraksi di ARRC 2024. Jika dalam waktu terdekat ini, kami gagal mencari pengganti penaja maka perjalanan kami di Asia akan terhenti untuk tahun ini.

"Kami masih berusaha namun rasanya waktu sudah semakin 'time' (suntuk)," tulis TKKR Racing Team dalam hantaran berkenaan sebelum memuatnaik hantaran kedua yang sekali lagi menegaskan mereka akan terus menggiatkan usaha bagi mencari penaja.

"Of course (sudah tentu) kita akan berusaha untuk terus berlumba," tulis pasukan dalam hantaran kedua berkenaan.

Pada musim lalu, TKKR Racing Team meraih gelaran juara berganda dalam kelas perdana ASB1000 selepas pelumbanya dari Jerman, Markus Reiterberger yang menunggang jentera BMW M1000 RR muncul juara keseluruhan dengan mengumpul 250.5 mata.

TKKR Racing Team turut muncul sebagai juara bagi klasifikasi keseluruhan pasukan selepas mengumpul 402 mata, manakala pencabarnya dari Honda Asia-Dream Racing with SHOWA berada di kedudukan kedua, 360.5 mata.

Untuk rekod, pada ketika ASB1000 mula dipertandingkan pada 2019, juara sulung keseluruhan bagi kelas berkenaan dimenangi seorang lagi pelumba pasukan iaitu Azlan Shah Kamaruzaman Azlan Shah Kamaruzaman muncul juara.

Kejuaraan kemudian dirampas pelumba Honda Asia-Dream Racing with SHOWA, Zahqwan Zaidi pada 2022.

Berita Harian X