Ahad, 11 Februari 2024 | 6:56pm
Tunku Abdul Rahman bersama trofi kejuaraan. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Tunku Abdul Rahman bersama trofi kejuaraan. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Agong zahir ucapan tahniah kemenangan sulung Tunku Panglima Johor

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada anakanda Seri Paduka Baginda, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim atas kemenangan sulung dalam perlumbaan siri Asian Le Mans di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam.

Tunku Abdul Rahman bersama pasukan Triple Eight mencatat sejarah tersendiri apabila meraih kemenangan sulung bagi kategori GT dalam perlumbaan pusingan keempat siri Asian Le Mans itu yang berlangsung di Litar Yas Marina, Abu Dhabi.

"Tahniah Bah ucapkan kepada Iman (Tunku Abdul Rahman) dan pasukan. Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkam nama Johor, malah Malaysia di pentas antarabangsa.

"Ingat pesanan Bah, setiap kali sebelum memulakan perlumbaan, dirikan solat hajat dan berdoa memohon agar sentiasa dilindungi dan selamat sepanjang perlumbaan," titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

Titah Sultan Ibrahim berkenaan dimuat naik melalui Facebook rasmi Seri Paduka Baginda hari ini.

Tunku Abdul Rahman bergandingan bersama Luca Stolz dan Jordan Love mempamerkan pemanduan cekap sepanjang empat jam perlumbaan, sekali gus merangkul kemenangan manis buat pasukan itu yang menyertai siri berkenaan buat kali pertama.

Tunku Abdul Rahman bersama pasukannya dalam masa sama berjaya mengelak daripada berlakunya sebarang perkara tidak diingini ketika perlumbaan berkenaan.

Berangkat menyaksikan perlumbaan itu ialah Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Pasukan Triple Eight dijadual meneruskan perlumbaan kelima mereka di Abu Dhabi, hari ini. - BERNAMA

Berita Harian X