Khamis, 1 Februari 2024 | 9:50pm
Pemandu Ferrari, Charles Leclerc (kiri) bersama pemandu Mercedes, Lewis Hamilton ketika perlumbaan Grand Prix Monaco di Circuit de Monaco, Monte Carlo. - REUTERS
Pemandu Ferrari, Charles Leclerc (kiri) bersama pemandu Mercedes, Lewis Hamilton ketika perlumbaan Grand Prix Monaco di Circuit de Monaco, Monte Carlo. - REUTERS

Hamilton didakwa akan berpindah ke Ferrari

PARIS: Juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton kemungkinan melakukan perpindahan mengejut ke Ferrari pada saingan musim 2025, menurut beberapa laporan, hari ini.

Pasukan berpangkalan di Itali itu mahu pemandu Britain berusia 39 tahun berkenaan untuk bergandingan bersama Charles Leclerc, lapor BBC, Sky, Autospor, akhbar Itali, Gazetta dello Sport dan beberapa agensi media yang lain.

Ia akan menjadi satu tindakan yang mengejutkan memandangkan Hamilton sudah menandatangani kontrak selama dua tahun dengan Mercedes untuk musim 2024 dan 2025.

Bagaimanapun perjanjian itu dilaporkan mengandungi klausa yang membenarkannya meninggalkan pasukan selepas semusim.

Hamilton memenangi gelaran dunia terakhirnya pada 2020 tetapi terlepas kejuaraan 2021 kepada Max Verstappen, yang juga 13 tahun lebih muda daripadanya.

Pemandu Red Bull dari Belanda itu terus mendominasi manakala Hamilton menduduki tempat keenam dalam kedudukan pemandu pada 2022 dan ketiga pada 2023.

Ferrari, yang pernah mengakui mengadakan perbincangan dengan Hamilton pada 2019 mengenai kemungkinan menyertai pasukan itu pada masa hadapan, enggan mengulas mengenai laporan itu.

Jurucakap Ferrari berkata: "Kami tidak mengulas mengenai khabar angin."

Mercedes pula tidak menjawab apabila dihubungi AFP. - AFP

Berita Harian X