Selasa, 16 Januari 2024 | 3:26pm
Akid (nombor 13) dan Afif (50) menjadi sandaran pasukan bagi saingan CP150 bagi musim 2024. - Foto Cub Prix
Akid (nombor 13) dan Afif (50) menjadi sandaran pasukan bagi saingan CP150 bagi musim 2024. - Foto Cub Prix

Misi besar CKJ Racing

KUALA LUMPUR: Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing Team tekad mempertahankan gelaran berganda pada kempen Kejuaraan Cub Prix 2024 yang dijadual membuka tirainya Mac ini.

Pengurus Operasi dan Teknikal Pasukan CKJ Racing, Amer Saad berkata, pasukan masih mengekalkan dua pelumbanya - Akid Aziz dan Ahmad Afif Amran - untuk saingan CP150 2024 namun masih belum memuktamadkan seorang lagi pelumba dalam kelas perdana berkenaan.

"Kita yakin dengan kemampuan Afif dan Akid.

"Untuk CP125 dua orang dan CP150 seorang bagi menggantikan Izzat Zaidi Salehan (yang mengalami kemalangan ngeri pada musim lalu).

"Kalau tak ada pelumba setanding Izzat, kita akan mengambil pelumba baharu. Mungkin dalam minggu ini, apabila semua jentera sudah sedia untuk ujian, kita boleh membuat keputusan untuk menentukan pelumba (baharu) CP150 dan secara automatik, kita dapat tahu siapa pelumba bagi CP125.

"Kita tak ada buat pemilihan, hanya buat ujian sahaja untuk membuat keputusan siapakah yang akan beraksi di CP150 dan CP125," kata Amer.

Pada musim lalu, PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing Team meraih gelaran berganda apabila Akid muncul juara keseluruhan kelas CP150 dan pasukan juga dinobatkan sebagai pasukan terbaik.

Lebih cemerlang, rakan gandingan Akid, Afif turut menamatkan saingan di kedudukan kedua keseluruhan sekali gus membuktikan pasukan mempunyai keupayaan untuk memberikan saingan sengit pada musim baharu ini.

"Kita akan buat yang terbaik untuk merebut gelaran lagi kerana kita masih boleh mencuba dengan peraturan baharu nanti. Peraturan baharu ini, tak ada kelebihan untuk mana-mana jentera kilang, ia lebih kepada keselamatan jentera dan juga pelumba kerana ia diperlahankan lagi," katanya.

Berita Harian X