Rabu, 10 Januari 2024 | 5:25pm
Hannah (tengah) bersama Qabil Irfan (dua dari kanan) di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil. – Foto Facebook Hannah Yeoh
Hannah (tengah) bersama Qabil Irfan (dua dari kanan) di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil. – Foto Facebook Hannah Yeoh

Keluarga sedia pindah demi cita-cita Qabil

KUALA LUMPUR: "Pengorbanan ini adalah untuk Qabil (Irfan) mencapai cita-cita beraksi dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) suatu hari nanti".

Itu luahan bapa kepada pelumba cilik berbakat negara itu, Azlan Abd Rahman apabila beliau dan keluarganya akan berpindah dari Terengganu ke Selangor.

Ini selepas Qabil diserap masuk sebagai atlet sepenuh masa dalam program pembangunan sukan permotoran negara yang dikelolakan Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC).

Katanya, pengorbanan itu perlu bagi memastikan pembangunan kerjaya anaknya berada pada tahap terbaik.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kerana penghargaaan ini. Ini adalah usaha yang baik untuk karier Qabil termasuk perpindahan sekolah ke Selangor nanti.

"Demi kemajuan anak kami perlu berkorban kerana selepas ini Qabil akan menghadapi jadual yang sedikit padat untuk melakukan persiapan selepas akan melakukan persiapan beraksi di Moto4 Kejohanan Superbike Eropah (ESBK) di Sepanyol dan juga FIM Mini GP Malaysia Series 190cc.

"Soal perpindahan isteri dan tiga anak saya lain belum diputuskan lagi. Kami perlu fikir carta terbaik untuk menguruskannya dan tak boleh keputusan melulu kerana. Buat masa ini fokus utama adalah Qabil," katanya.

Semalam Hannah mengumumkan Qabil diserap masuk sebagai atlet sepenuh masa dalam program pembangunan sukan permotoran negara yang dikelolakan SIC dan akan mula menetap dan bersekolah di Selangor.

Selain Qabil, Hannah turut memaklumkan keluarga pelumba berusia 11 tahun itu juga akan berpindah ke Selangor bagi memberi sokongan penuh terhadap pembangunan kerjayanya sebagai seorang pelumba motosikal dan pihaknya akan membantu mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian buat Azlan.

Ditanya antara tawaran pekerjaan yang bakal ditawarkan kepadanya belum diputuskan tetapi dia juga dimaklumkan oleh pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin untuk membantunya di bengkel.

"Saya dimaklumkan untuk membantu ZK Racing terutama soal mekanik dan kemungkinan saya juga akan bersama Qabil di ESBK nanti. Keputusan akhir belum diputuskan dan ini adalah perbincangan awal.

"Saya tidak ada masalah kerana jiwa saya memang seorang mekanik. Mengenai soal pengurusan, saya menyerahkan bulat-bulat kepada Zulfahmi untuk mengerjakannya," katanya.

Berita Harian X