Sabtu, 23 Disember 2023 | 5:16pm
Firdaus kekal menggalas tugasan sebagai mekanik kedua pasukan MT Helmets MSI pada musim depan. Foto Facebook MT Helmets MSI
Firdaus kekal menggalas tugasan sebagai mekanik kedua pasukan MT Helmets MSI pada musim depan. Foto Facebook MT Helmets MSI

Daus kekal 'beraksi' di Kejuaraan Motosikal Dunia

KUALA LUMPUR: Di sebalik penampilan sulung sepenuh masa Syarifuddin Azman dalam saingan Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia 2023 bersama pasukan MT Helmets MSI, terdapat seorang lagi 'wajah Malaysia' yang bersama pasukan berkenaan.

Syarifuddin atau dikenali sebagai Damok sah tidak akan bersama pasukan berpangkalan di Sepanyol itu lagi, namun khidmat mekaniknya, Muhammad Firdaus Mokhadzir masih ditagih pasukan untuk mengharungi musim baharu 2024.

Firdaus atau dikenali sebagai Daus bakal memikul tanggungjawab sama iaitu sebagai mekanik kedua pasukan namun kali ini menyelenggara jentera pelumba muda dari Jepun, Ryusei Yamanaka.

"Tahun hadapan akan menjadi tahun kedua di Kejuaraan Dunia. Untuk tahun pertama ini, saya rasa ia sesuatu yang menakjubkan selain meraih lebih banyak pengalaman dan belajar mengenai keadaan litar yang tak pernah saya kunjungi sebelum ini.

"Saya sudah mengenali dia (Yamanaka) sebelum ini. Jadi saya rasa tidak ada masalah untuk saya bekerjasama dengan dia. Dia pernah mengikuti latihan bersama kami di Eropah bersama-sama Damok dan Hakim Danish (Ramli)," kata Daus.

Semalam, pasukan ZK Racing yang dikendalikan bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin berkongsi hantaran MT Helmets MSI di laman sosial berhubung tugasan Daus pada musim hadapan.

"Untuk kontrak saya, MT beri kepada ZK untuk uruskan. Dia akan tengok bagaimana kontrak ditawarkan kepada saya seperti yang dilakukan ZK untuk menguruskan pelumba pada ketika ini," kata Daus yang berkemungkinan akan diberi tanggungjawab memikul dua tugasan pada musim depan iaitu di Kejuaraan Motosikal Dunia dan Kejuaraan Dunia JuniorGP.

Berita Harian X