Isnin, 27 November 2023 | 1:29pm
Pelumba Ducati dari Itali, Francesco Bagnaia meraikan kemenangan menjuarai MotoGP Grand Prix Valencia di podium semalam sekali gus mengekalkan kejuaraan dunia. – Foto AFP
Pelumba Ducati dari Itali, Francesco Bagnaia meraikan kemenangan menjuarai MotoGP Grand Prix Valencia di podium semalam sekali gus mengekalkan kejuaraan dunia. – Foto AFP

Bagnaia bagai bermimpi kekal kejuaraan MotoGP

VALENCIA, Sepanyol: Pelumba Itali, Francesco Bagnaia menikmati satu hari impian apabila dia mengekalkan kejuaraan MotoGP dunia dan melengkapkannya dengan kemenangan pada perlumbaan penamat musim di Valencia malam tadi.

Penunggang Ducati berusia 26 tahun itu sudah memastikan kejuaraan apabila pencabar tunggalnya Jorge Martin terbabit dalam kemalangan pada awal perlumbaan.

"Ia satu mimpi," kata Bagnaia mengenai kejuaraannya.

"Saya terlalu gembira. Ia satu musim hebat sekalipun di Barcelona saya cedera dan ia menyebabkan lebih sukar selepas itu.

"Saya sering kali mengimpikan untuk memenangi kejuaraan ketika turut memenangi perlumbaan.

"Saya mahu memberi penghormatan terhadap pasukan, yang melakukan tugas luar biasa musim ini."

Penunggang Honda, Marc Marquez (kiri) dilanggar dari belakang oleh pelumba Ducati, Jorge Martin pada perlumbaan MotoGP Grand Prix Valencia di Litar Ricardo Tormo, Cheste malam tadi. – Foto AFP
Penunggang Honda, Marc Marquez (kiri) dilanggar dari belakang oleh pelumba Ducati, Jorge Martin pada perlumbaan MotoGP Grand Prix Valencia di Litar Ricardo Tormo, Cheste malam tadi. – Foto AFP

Bagnaia mendahului tetapi tidak menyedari Martin sudah terkeluar daripada persaingan selepas jentera Ducati-Pramac ditunggangnya bertembung dengan jentera Honda milik Marc Marquez menyebabkan kedua-dua pelumba terkeluar.

Martin kembali ke laluan pit yang mana dia menangis dan ditenangkan ahli pasukannya selepas kemalangan yang mengejutkan 93,000 penonton.

Selepas bertenang, penunggang dari Sepanyol itu memeluk Bagnaia dan mengakui sekalipun dia muncul sebagai jaguh acara pecut dengan sembilan kemenangan musim ini, musuhnya itu berhak muncul juara keseluruhan.

"Saya melakukan terlalu banyak kesilapan, itulah kebenarannya," kata Martin, yang bersaing sengit memburu kejuaraan ketika Bagnaia mendahului 62 mata pada pertengahan saingan musim.

"Inilah perkara yang saya perlu tangani musim depan." – AFP

Berita Harian X