Isnin, 27 November 2023 | 1:03pm
Pemandu Red Bull, Max Verstappen (tengah) meraikan kemenangan di podium selepas menjuarai Grand Prix F1 Abu Dhabi di Litar Yas Marina malam tadi. – Foto AFP
Pemandu Red Bull, Max Verstappen (tengah) meraikan kemenangan di podium selepas menjuarai Grand Prix F1 Abu Dhabi di Litar Yas Marina malam tadi. – Foto AFP

Verstappen akhiri musim penuh bergaya

ABU DHABI: Juara dunia tiga kali dari Red Bull, Max Verstappen melengkapkan tahun penuh dominan dengan melakar rekod kemenangan ke-19 dalam 22 perlumbaan pada saingan penamat musim Grand Prix Abu Dhabi malam tadi.

Kemenangan dari petak utama itu, yang keempat berturut-turut di bawah lampu limpah Yas Marina, menyaksikan pemandu berusia 26 tahun itu menghuni tangga ketiga dalam senarai pemenang terbanyak sepanjang zaman Formula Satu dengan 54 kemenangan karier.

Hanya juara dunia tujuh kali Lewis Hamilton (103) dan Michael Schumacher (91) menang lebih banyak berbanding pemandu dari Belanda itu.

Sergio Perez menghuni tangga kedua buat Red Bull namun penalti lima saat dikenakan terhadapnya selepas perlumbaan menyaksikan pemandu Mexico itu terlepas podium, di belakang pemandu Ferrari, Charles Leclerc dan pemandu Mercedes, George Russell.

"Ia satu musim yang luar biasa," kata Verstappen, yang turut muncul pelumba pertama untuk mendahului 1,000 pusingan perlumbaan dalam satu musim kejuaraan dan mengumpul rekod 575 mata.

"Ia agak beremosi ketika mahu kembali ke pit. Adalah sukar untuk melakukan sesuatu yang serupa sekali lagi tetapi kami pasti menikmati tahun ini."

Mercedes menamatkan musim tanpa kemenangan buat kali pertama sejak tahun 2011 tetapi berakhir di tangga kedua di belakang Red Bull, yang mengumpul 860 mata berbanding Mercedes (409) dan Ferrari (406).

McLaren di tangga keempat keseluruhan, 22 mata di depan Aston Martin, dengan Lando Norris di tangga kelima dan pemandu rookie Australia dan rakan sepasukan Oscar Piastri keenam. – REUTERS

Berita Harian X