KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman dan pelumba muda, Danial Syahmi Ahmad Shahril jelas tidak sabar untuk menghangatkan perlumbaan sulung Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) India di Litar Antarabangsa Buddh, Uttar Pradesh, hujung minggu ini.
Dua pelumba itu jelas mahu segera memahami selok belok litar baharu, Litar Antarabangsa Buddh yang dijadual menjadi lokasi bagi pusingan ke-13 Kejuaraan Motosikal Dunia itu.
Syarifuddin Azman yang menyertai kelas Moto3 secara sepenuh masa musim ini sudah mengumpul lima mata sebelum saingan di India membuka tirainya manakala Danial Syahmi Ahmad Shahril bakal membuat kemunculan keduanya dalam kelas berkenaan atas tiket wildcard.
Danial bakal beraksi mewakili pasukan PETRONAS MIE Racing Vision Track Racing bersama pelumba dari Chennai, India, Kadai Yaseen Ahamed yang turut berlumba atas tiket wildcard.
"Saya mahu berikan yang terbaik minggu ini dan saya tidak sabar untuk beraksi di India. Ini adalah litar yang baru buat semua pelumba, dan tentunya banyak perkara yang saya juga pasukan perlu memahami dan pelajari.
"Sudah pasti tidak mudah tetapi saya akan terus berkerja keras dan berusaha dari awal. Saya akan berusaha untuk memberikan saingan sengit dan memperoleh mata dalam perlumbaan," kata Syarifuddin atau dikenali sebagai Damok yang mewakili pasukan MT Helmets-MSi.
Dalam pada itu, Danial yang kali pertama membuat kemunculan di Kejuaraan Motosikal Dunia di Grand Prix (GP) Jerman, Jun lalu berkata, dia akan cuba memberikan kerjasama dengan baik bersama pasukan untuk mencari pelarasan jentera terbaik di litar berkenaan.
"Paling penting saya dapat menunggang jentera Honda. Saya mempunyai pengalaman bersama jentera Honda selama dua tahun, jadi, mudah untuk saya lebih memahami dan mencari keserasian bersama jentera.
"Saya akan bekerjasama dengan ketua kru serta pasukan yang baharu. Jadi, saya akan belajar secepat mungkin untuk beri 100 peratus di litar nanti dan saya akan beri komitmen yang lebih tinggi berbanding sebelum ini untuk berada dalam kelompok pelumba atas," katanya.