NEW DELHI: Juara dunia enam kali Marq Marquez muncul antara beberapa pelumba yang terjejas perancangan perjalanan mereka bagi menyertai Grand Prix India hujung minggu ini disebabkan kelewatan mendapat visa.
"Penerbangan ditangguh kerana belum ada visa bagi GP India. Jadi kami terpaksa mengayuh buat beberapa ketika," kata penunggang Repsol Honda itu di laman Instagram semalam, di samping gambar dia mengayuh basikal.
Beberapa pelumba Moto3 dan wartawan masih menunggu visa mereka bagi perlumbaan sulung MotoGP di Litar Antarabangsa Buddh di pinggir New Delhi.
Penganjur tempatan berkata, mereka "bekerja sepanjang waktu" bagi memastikan visa tiba dengan cepat.
"Kami kesal dengan kelewatan yang tidak diduga dalam proses pengeluaran visa," kata mereka dalam satu kenyataan malam tadi.
"Kami dengan sukacitanya mengumumkan kebanyakan visa sudah diproses."
Francesco Bagnaia dari Ducati mendahului 36 mata di depan Jorge Martin dari Pramac Racing dalam perlumbaan ke-13 tahun ini. – REUTERS