Ahad, 10 September 2023 | 10:48pm
Pelumba Prima Pramac Racing dari Sepanyol, Jorge Martin meraikan kemenangannya di podium selepas menjuarai MotoGP Grand Prix San Marino di Litar Dunia Misano-Marco Simoncelli hari ini. – Foto AFP
Pelumba Prima Pramac Racing dari Sepanyol, Jorge Martin meraikan kemenangannya di podium selepas menjuarai MotoGP Grand Prix San Marino di Litar Dunia Misano-Marco Simoncelli hari ini. – Foto AFP

Martin ungguli Grand Prix Misano

MISANO ADRIATICO, Itali: Jorge Martin merapatkan jurang dengan pendahulu kejuaraan Francesco Bagnaia selepas menjuarai MotoGP San Marino hari ini bagi melengkapkan hujung minggu sempurna di Misano.

Penunggang Pramac, Martin kini ketinggalan 36 mata di belakang juara dunia Bagnaia selepas meraih kemenangan ketiga Grand Prix dalam kariernya, dari petak utama dan lebih sesaat di depan Marco Bezzecchi.

Pelumba berusia 25 tahun itu meraih mata maksimum dari Misano Adriatico selepas turut memenangi perlumbaan pecut semalam, tetapi Bagnaia yang mengalami kecederaan bertindak cemerlang dengan penamat ketiga sekali gus menggembirakan penyokong tuan rumah di litar Itali itu.

Martin menyambar petak utama selepas memecah rekod litar hampir setengah saat ketika kelayakan pagi semalam dan penunggang dari Sepanyol itu kelihatan tidak bermasalah ketika dua pelumba Itali mengejarnya.

"Terima kasih kepada setiap orang yang membantu saya mencapai kejayaan ini kerana kami bekerja keras," kata Martin.

Jorge Martin (kiri) mendahului pesaing terdekatnya Francesco Bagnaia ketika perlumbaan MotoGP Grand Prix San Marino di Litar Dunia Misano-Marco Simoncelli di Misano Adriatico, Itali hari ini. – Foto AFP
Jorge Martin (kiri) mendahului pesaing terdekatnya Francesco Bagnaia ketika perlumbaan MotoGP Grand Prix San Marino di Litar Dunia Misano-Marco Simoncelli di Misano Adriatico, Itali hari ini. – Foto AFP

"Hari ini di depan Marco dan Bagnaia ia pastinya sering kali sukar... sebaik saya melihat ada ruang saya mula menekan dengan segala kudrat yang saya miliki."

Bagnaia dan pelumba VR46, Bezzecchi berlumba dalam kesakitan selepas kemalangan teruk pada perlumbaan MotoGP Catalunya hujung minggu lalu.

Namun Bagnaia menunggang dengan baik sepanjang hujung minggu ini dengan ubat penahan sakit dan gembira dengan tunggangan antara yang terbaik dalam kariernya setakat ini.

"Saya didorong oleh hakikat saya mahu melakukan perlumbaan yang baik untuk peminat dan untuk diri saya sendiri," kata Bagnaia yang keletihan dan hampir tidak boleh berjalan atau bercakap selepas perlumbaan.

"Gembira, gembira, ia tidak mudah memandangkan keadaan itu."

Bezzecchi turut merapatkan jurang dengan Bagnaia dan kini ketinggalan 65 mata di belakang pendahulu. – AFP

Berita Harian X