KUALA LUMPUR: Pelumba Boon Siew Honda Racing Team, Helmi Azman akan mengharungi Pusingan 2 Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2023 dengan membawa bekalan semangat dalam misinya memburu gelaran juara keseluruhan.
Helmi yang beraksi kelas MSBK600cc membuka kempen 2023 dengan langkah kanan apabila memenangi kedua-dua perlumbaan pada Pusingan 1 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada bulan lalu.
Kemenangan itu meletakkan dirinya kini berada di puncak carta keseluruhan dengan 50 mata sebelum Pusingan 2 membuka tirai saingan secara rasmi pada Jumaat ini di litar sama.
Mengekori rapat Helmi adalah pelumba Yamaha Gen Blu Racing Team Asean, Soichiro Minamimoto yang berada di tangga kedua dengan 20 mata manakala rakan pasukan pelumba dari Jepun itu, M Sharul Ezwan M Sharil, di tangga ketiga, 16 mata.
Helmi yang hanya menyertai satu pusingan musim pada tahun lalu berkata, meskipun memperoleh keputusan yang baik pada pusingan bulan lalu namun dia mengakui masih bergelut untuk 'menjinakkan' jentera ditungganginya.
"Pada masa ini, kesukaran adalah jentera. Saya tidak dapat merasakan sesuatu yang bagus tetapi dalam masa sama, saya juga harus mencari pelarasan supaya dapat memperbaiki kelajuan terutama dari sudut suspensi.
"Walaupun saya beraksi dengan baik pada Pusingan 1, masih ada berbaki dua pusingan dan ia sangat penting bagi memastikan jentera berada dalam keadaan baik supaya saya dapat mengekalkan posisi saya," kata Helmi.
"Untuk tahun ini, saya menyasarkan gelaran juara keseluruhan kerana pada tahun lalu, saya jauh ketinggalan mata. Ia satu permulaan yang baik bagi musim ini. Saya memperoleh hasil yang positif dalam kedua-dua perlumbaan.
"Litar Sepang sentiasa menjadi tempat yang baik untuk beraksi dan saya boleh katakan, yang saya mempunyai keyakinan tinggi di litar berkenaan.
"Kami sudah beraksi dalam banyak perlumbaan di sana dan dengan maklumat dan data dimiliki, ia banyak membantu kami ketika perlumbaan. Jadi kali ini, saya menyasarkan untuk meraih kedudukan terbaik," katanya.