Selasa, 5 September 2023 | 5:46pm
Perlumbaan Bike National ET Record Championship 2023.
Perlumbaan Bike National ET Record Championship 2023.

MAM sahkan perlumbaan Bike National ET Record Championship 2023 tidak diiktiraf

KUALA LUMPUR: Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) menegaskan acara Bike National ET Record Championship 2023 yang mengorbankan nyawa baru-baru ini tidak diiktiraf oleh badan induk itu.

MAM dalam satu kenyataan berkata, sukan permotoran adalah satu sukan yang merbahaya dan mana-mana pihak yang ingin menyertainya baik dari sudut penganjur, pemilik litar ataupun pelumba mempunyai kewajiban untuk mematuhi setiap peraturan dan protokol ketat ditetapkan.

Ini bagi mmastikan tahap keselamatan berada di tahap tertinggi, meningkatkan persaingan dan akhirnya memberi peluang kepada pelumba dan penonton untuk menikmati acara perlumbaan berkenaan secara selamat.

"Acara-acara yang diiktiraf ("sanctioned events") oleh pihak MAM dijalankan dengan mematuhi garis panduan am dan teknikal yang ditetapkan pihak FIA dan FIM berkaitan dengan penganjur, kemudahan, peserta dan kenderaan.

"Acara-acara sukan permotoran yang dikawalselia atau diiktiraf akan memberi parameter yang jelas kepada penganjur dan peserta mengenai persekitaran perlumbaan yang selamat, pembabitan marshal serta pegawai perlumbaan yang berkelayakan dan berpengalaman.

"Persediaan litar yang merangkumi aspek keselamatan, pasukan perubatan dan perlindungan insuran kepada penonton, pelumba, pegawai dan penganjur.

"Oleh yang demikian, penganjur amat digalakkan untuk mendapat acara mereka diluluskan dan dikawalselia ("sanctioned") dengan bekerjasama dengan pihak MAM," kata MAM dalam satu kenyataan.

Pada perlumbaan di Pekan itu, seorang pelumba drag profesional, Hattem Rashdi terkorban apabila terbabit dalam satu kemalangan disebabkan hilang kawalan, seperti disahkan Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin dalam laporan media, hari ini.

Dalam pada itu, MAM menegaskan bahawa pihaknya tidak menyokong acara yang tidak diiktiraf yang bagi mereka, aspek keselamatan pegawai, pelumba, penonton dan penganjur amat penting bagi memastikan setiap penganjuran dijalankan mengikut aspek keselamatan ditetapkan.

"Selain itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan MAM sudah mengadakan perbincangan bagi kemaskini pentadbiran dan undang-undang acara sukan permotoran dengan lebih teratur dan tersusun.

"Pihak MAM amat berharap supaya semua pihak berkenaan dapat memberi kerjasama untuk memastikan bahawa penganjuran yang tidak diiktiraf seperti ini dapat dihalang demi mengelakkan kejadian sedemikian berulang," kata kenyataan berkenaan.

Berita Harian X