Khamis, 3 Ogos 2023 | 5:19pm
Kasma ketika ditemui media pada Jualan Gudang MKA Group di Taman Perindustrian Putra, hari ini. - NSTP
Kasma ketika ditemui media pada Jualan Gudang MKA Group di Taman Perindustrian Putra, hari ini. - NSTP

ARRC peluang Kasma 'naik kelas' ke MotoGP

PUCHONG: Pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayudin menyifatkan penyertaan dalam saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2023 sebagai satu peluang besar untuk dirinya kembali beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

Kasma yang mewakili pasukan Yamaha GEN BLU Racing Team ASEAN di pentas Asia itu memaklumkan, dirinya mempunyai peluang cerah untuk kembali beraksi dalam kelas Moto2 di MotoGP sekiranya dapat menamatkan kempen ARRC 2023 di kelompok tiga terbaik.

"Sekiranya pencapaian bagus (kelompok tiga terbaik keseluruhan ARRC 2023), ada sasaran lain dari pasukan. Mereka ada slot kosong untuk tahun depan dalam pasukan Yamaha VR46 Team. Untuk dapatkan slot itu, saya kena buktikan sesuatu pada tahun ini di ARRC," kata Kasma yang meraih kemenangan sulungnya bagi musim ini dalam kelas ASB1000cc ARRC di Perlumbaan 1 di Jepun, Jun lalu.

Selepas tiga pusingan musim, Kasma ketika ini berada di kedudukan keenam keseluruhan dengan 61 mata dan pelumba berusia 22 tahun itu masih berpeluang untuk berada dalam kelompok tiga terbaik.

Ia memandangkan kempen masih berbaki tiga pusingan selain jurang mata antara dirinya dan pelumba di kedudukan ketiga, Zaqhwan Zaidi (Honda Asia-Dream Racing with SHOWA) juga tidak jauh, hanya dibezakan 23 mata .

Perlumbaan terdekat adalah di Litar Mandalika, Indonesia dari 11 hingga 13 Ogos ini dan bagi Kasma, peluang untuknya melengkapkan sasaran itu masih terbuka meskipun sedar cabaran utama hadir dari pasukan ONEXOX BMW TKKR Team.

"Jurang mata tak jauh... jurang itu tak besar, dalam 10 ke 15 mata. Saya juga boleh untuk terus melonjak ke kedudukan ketiga (keseluruhan) memandangkan jurang itu tak jauh. Bagi saya, memang cukup (untuk berada dalam kelompok tiga terbaik) tetapi apabila tengok motosikal BMW, memang sukar untuk memberikan saingan.

"Sekiranya beraksi di trek besar, memang Yamaha 'bye-bye'," kata Kasma yang ditemui media di Jualan Gudang MKA Group di Taman Perindustrian Putra, hari ini.

Untuk rekod, Kasma sebelum ini pernah menyertai Yamaha VR46 Team sebagai pelumba gantian kepada Kohta Nozane di Grand Prix (GP) Itali dan Jerman, Jun lalu.

Pada musim lalu, Kasma menamatkan kempen ARRC di kedudukan ketiga keseluruhan dengan 153 mata manakala Zaqhwan meraih gelaran juara Asia selepas mengumpul 157 mata.

Berita Harian X