Sabtu, 13 Mei 2023 | 6:06pm
Azroy (tengah) memenangi Perlumbaan 1 Pusingan 2 ARRC di Litar Antarabangsa Sepang di samping dua rakannya, Khairul Idham (tempat kedua, kiri) dah Helmi (ketiga, kanan). - Foto ihsan ARRC
Azroy (tengah) memenangi Perlumbaan 1 Pusingan 2 ARRC di Litar Antarabangsa Sepang di samping dua rakannya, Khairul Idham (tempat kedua, kiri) dah Helmi (ketiga, kanan). - Foto ihsan ARRC

Pelumba Boon Siew Honda Racing Team tawan Sepang

KUALA LUMPUR: Pelumba pasukan Boon Siew Honda Racing Team 'menawan' pentas podium Perlumbaan 1 kelas SuperSports 600cc Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2023 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Azroy Hakeem Anuar menemui garisan penamat dengan catatan keseluruhan 21 minit 53.231 saat (s) manakala pendahulu kelas pertengahan, Khairul Idham Pawi menamatkan saingan di tempat kedua, 21:53.311s.

Tempat ketiga menjadi milik rakan sepasukan mereka, Muhammad Helmi Azman yang menamatkan perlumbaan 0.82s di belakang Azroy yang meraih kemenangan pertamanya bagi musim ini.

"Satu pertarungan yang menarik antara saya dan mereka. Ia menjadi sasaran kami untuk berada di pentas podium secara bersama pada kali ini. Pada awal perlumbaan, saya memberi laluan kepada Khairul Idham untuk melebarkan jarak.

"Pada pusingan keempat atau keenam, saya sedar terdapat jurang jarak ketara antara pelumba di kedudukan ketiga dan keempat. Pada masa itulah, saya mula melakukan serangan kepada KIP (Khairul Idham). Sememangnya pada dua pusingan terakhir, persaingan menjadi sangat sengit namun saya tetap teruskan pertarungan," kata Azroy.

Perlumbaan 2 dijadual berlangsung esok dan Azroy pada ketika ini berada di kedudukan kelima keseluruan dengan 36 mata. Khairul Idham pula masih mendahului carta dengan 65 mata manakala pelumba Honda Racing Thailand, Nakarin Atiratphuvapat di kedudukan kedua, 58 mata.

Helmi pula berada di kedudukan ketiga dengan 39 mata manakala pelumba dari Jepun yang mewakili pasukan Yamaha Gen Blu Racing Team ASEAN, Soichiro Minamimoto keempat, 37 mata.

"Mungkin, hari ini adalah hari saya. Esok, kami akan cuba melakukannya sekali lagi," kata Azroy.

Berita Harian X