KUALA LUMPUR: Pertarungan dalam kelas SuperSports 600cc antara Khairul Idham Pawi dan Chip Nakarin 'wajib' dijadikan tumpuan utama pada Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) yang dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini.
Khairul Idham yang mewakili pasukan Boon Siew Honda Racing Team dan Nakarin (Honda Racing Thailand) pastinya menjadi lebih hangat di SIC apatah lagi kedua-duanya kini berkongsi 45 mata di puncak carta kelas kedua tertinggi itu selepas kempen 2023 membuka tirainya di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand Mac lalu.
Pelumba Boon Siew Honda Racing Team, Khairul Idham Pawi memenangi Perlumbaan 1 di Thailand namun Nakarin berjaya menemui garisan penamat terlebih dulu di Perlumbaan 2 sekali gus masing-masing kini bakal menjadikan SIC sebagai pentas sambungan pertarungan antara mereka.
"Tahun lalu saya agak bergelut kerana saya tidak berada dalam arena permotoran selepas hampir setahun. Tentunya, ia akan mengambil sedikit masa untuk mendapatkan semula keyakinan dan kembali memperoleh kemampuan rentak tunggangan saya. Perlumbaan 1 adalah pencetus semangat untuk dapatkan kembali momentum berkenaan.
"Sekarang adalah masa untuk terus ke depan," kata bekas pelumba Moto3 dan Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia yang dikenali sebagai SuperKIP itu.
"Saya menggemari Litar Sepang. Ia adalah laman sendiri untuk saya dan meraih banyak kejayaan di sana. Namun, kunci kejayaan turut mengambilkira faktor jentera. Oleh itu, kerja pasukan adalah sangat penting kerana mereka adalah tulang belakang kepada pembangunan jentara yang hampir sempurna untuk perlumbaan."
Dalam pada itu, Nakarin berkata, dia akan berusaha untuk memastikan bendera Thailand berada di pentas podium meskipun sedar, rintangannya pasti sukar.
"Motivasi di Sepang adalah melihat bendera Thailand di podium, mungkin di kedudukan teratas tetapi ia tidak mudah. Beraksi di sana memerlukan skil ketika membrek di selekoh dan perlu mempunyai perancangan tunggangan yang betul.
"Saya kurang memiliki skil ketika di selekoh dan sudah pastinya banyak usaha perlu diperkemaskan lagi," kata Nakarin.