KUALA LUMPUR: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli mencipta kejutan pada pusingan pembuka tirai Piala Red Bull Rookies 2023 di Portugal, sebentar tadi, apabila meraih penamat di pentas podium bagi Perlumbaan 2.
Beraksi di Litar Antarabangsa Algarve, Portimao pelumba berusia 15 tahun itu pantas melupakan kekecewaan meraih penamat di tempat kelima pada Perlumbaan 1 semalam sebelum bangkit memburu penamat ketiga.
Pelumba Sepanyol yang memenangi Perlumbaan 1, Angel Piqueras mengekalkan penguasaannya di podium pertama bagi Perlumbaan 2 selepas menemui garisan penamat dengan catatan 26 minit 09.348 saat (s).
Rakan senegara Piqueras, Marcos Ruda berada di tempat kedua selepas ketinggalan 0.002s manakala Hakim melengkapkan pentas podium di tempat ketiga, 0.017s dibelakang pemenang kali ini.
"Alhamdulillah, saya sangat gembira kerana ini adalah podium pertama saya di Portimao, musim pertama saya di Red Bull Rookies Cup. Pada perlumbaan tadi, sangat menakjubkan dan begitu sengit.
"Pelumba juga begitu pantas, namun saya berjaya memotong dan berada di podium," katanya.
Selepas berakhir Pusingan 1, Hakim kini berada di tangga keempat dengan 27 mata manakala Piqueras mendahului carta kedudukan keseluruhan dengan 50 mata. Alvaro Carpe pula berada ditangga kedua dengan 30 mata manakala Ruda ketiga, 27 mata.
Dalam pada itu, seorang lagi pelumba negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril menamatkan Perlumbaan 2 ditempat ke-10 dan mengakhiri pusingan pertama dengan 13 mata sebelum saingan beralih ke Litar Jerez, Sepanyol pada 29 dan 30 April ini.