Ahad, 19 March 2023 | 3:28pm
Antara aksi D1 Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Lumba APDCrew, Serdang, malam tadi.
Antara aksi D1 Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Lumba APDCrew, Serdang, malam tadi.

Amandio hampiri gelaran 'Raja Drift' Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: Emmanuel Amandio meletakkan dirinya di landasan terbaik bagi merangkul gelaran 'Raja Drift' Asia Tenggara.

Ini selepas pemandu dari Indonesia itu menjuarai pusingan pertama perlumbaan D1 Grand Prix (GP) Malaysia yang berlangsung serentak dengan pusingan keempat D1 GP Asia Tenggara di Litar Lumba APDCrew, Serdang, malam tadi.

Amandio cemerlang apabila mengatasi pemandu Jepun, Masato Kawabata yang mengakhiri saingan di kedudukan kedua manakala Jason Lim dari Malaysia berada di tempat ketiga.

"Perlumbaan D1 GP Malaysia disertai 54 pemandu profesional dari beberapa negara iaitu Jepun, Thailand, Indonesia, Filipina, Pakistan dan Malaysia.

"Pada sesi kelayakan hanya 24 pemandu daripada 54 layak ke pusingan 24 terbaik. Cuaca yang panas sebenarnya menguji kekuatan dan ketahanan jentera para peserta yang rata-rata melebihi 500 kuasa kuda.

"Amandio tidak mempunyai masalah mengetepikan peserta lain sejak di pusingan awal. Dia bertemu pelumba dari Jepun, Masato Kawabata di pentas akhir.

"Kesilapan Kawabata yang melanggar jentera Amandio akhirnya mengundang padah dan mengakibatkan tayarnya pecah," kata Pengurus Media Litar APDCrew, Abdul Malik Tanjeng.

Penentuan bagi gelaran juara Asia Tenggara bakal ditentukan apabila kesemua pemandu beraksi pada perlumbaan pusingan kedua D1 GP Malaysia dan kelima GP Asia Tenggara yang dijangka berakhir, malam ini.

Sebagai rekod, D1 GP Asia Tenggara ini turut berjalan serentak dengan D1 GP Malaysia dan juga Siri Drift Kebangsaan Malaysia (NDS GP).

Perlumbaan D1 GP Malaysia kembali dianjurkan di negara ini selepas kali terakhir dianjurkan 17 tahun lalu iaitu pada 2006.

Berita Harian X