Rabu, 18 Januari 2023 | 6:37pm
Pelumba Boon Siew Honda Racing Team, Azroy Hakem Anuar. - Foto ihsan Boon Siew Honda
Pelumba Boon Siew Honda Racing Team, Azroy Hakem Anuar. - Foto ihsan Boon Siew Honda

Kejuaraan Asia fokus utama Azroy musim 2023

KUALA LUMPUR: Musim baharu Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2023 menjadi fokus utama Azroy Hakeem Anuar dengan pelumba berkenaan menyasarkan untuk meraih gelaran Asia dalam kelas SuperSports 600cc.

Mengambil pengalaman pada musim lalu, Azroy berkata, dia mempunyai keupayaan memburu gelaran dalam kelas berkenaan, namun masalah kesihatan menjadikan impiannya sedikit terencat.

Pelumba Boon Siew Honda Racing Team itu menamatkan musim lalu dengan mengumpul 116 mata untuk berada di tangga keempat keseluruhan, ketinggalan 42 mata di belakang juara, Andi Farid Izdihar dari Asstra Honda Racing Team.

"Saya memberi fokus kepada ARRC kerana saya nak dapatkan gelaran juara dalam kelas SuperSports 600cc," kata Azroy yang dijangkiti COVID-19 , sekali gus menyaksikan dia tidak dapat menyertai dua pusingan perlumbaan.

"Tahun lalu saya terlepas dua perlumbaan disebabkan COVID-19 dan terlepas 50 mata. Selepas saya kembali sihat dan boleh berlumba semula, saya mampu berada di pentas podium.

"Sudah tentu saya agak rugi kerana tak dapat memberikan saingan kerana masalah kesihatan. Tahun ini, kalau boleh, saya nak memberi saingan bagi merebut gelaran juara."

Selain ARRC, Azroy turut dijadual menyertai Kejuaraan Cub Prix Malaysia bersama pasukan Honda Yuzy Estremo Team yang sedang memburu gelaran berganda dalam kategori keseluruhan terbaik pelumba dan pasukan musim ini.

Azroy yang pernah meraih gelaran juara pada 2021 dalam kelas CP150 berkata, dia hanya melakukan persediaan seperti biasa untuk perlumbaan tempatan ini meskipun menjangkakan persaingan bakal bertambah sengit.

"Setiap tahun cabarannya berbeza dan semestnya kali ini lebih mencabar kerana kembalinya trek Cub Prix dalam kalendar dan tentunya saya akan cuba melakukan yang terbaik," katanya.

Berita Harian X