Ahad, 20 November 2022 | 11:32pm
Pemandu Red Bull, Max Verstappen menjulang trofi Grand Prix Abu Dhabi selepas memenangi perlumbaan penutup tirai Formula Satu di Litar Yas Marina, Abu Dhabi. - Foto AFP
Pemandu Red Bull, Max Verstappen menjulang trofi Grand Prix Abu Dhabi selepas memenangi perlumbaan penutup tirai Formula Satu di Litar Yas Marina, Abu Dhabi. - Foto AFP

Verstappen menang di Abu Dhabi

ABU DHABI: Max Verstappen menambah koleksi kemenangan yang ke-15 bagi tahun ini di Grand Prix (GP) Abu Dhabi sekali gus merekodkan salah satu kejayaan musim paling dominan dalam sejarah Formula Satu (F1).

Verstappen berada di hadapan rakan sepasukan Sergio Perez seawal saingan bermula dan tidak mengalami sedikit pun cabaran sehingga meraih kemenangan di Litar Yas Marina.

"Sekali lagi kemenangan yang menakjubkan di sini, kemenangan ke-15 musim ini dan ia sesuatu yang tidak dijangka.

"Ia satu detik yang menyeronokkan dapat bekerja bersama keseluruhan pasukan dan berjaya meraih sesuatu seperti ini pada tahun ini," kata Verstappen.

Pemandu Ferrari, Charles Leclerc berjaya menyekat persaingan diberikan Perez daripada sudut penggunaan tayar sebelum menamatkan perlumbaan di tempat kedua sekali gus berada di tangga kedua dalam kedudukan pemandu.

"Saya tahu satu-satunya peluang untuk mengatasi Checo (Perez) hari ini adalah dengan menggunakan strategi berbeza dan bermain dengan pengurusan tayar yang mana kami dapat melakukan dengan baik hari ini.

"Saya sangat berharap tahun depan, kami dapat berada di hadpaan lagi untuk memburu kejuaraan," kata Leclerc.

Leclerc dan Ferrari tampak mampu memberikan cabaran kepada Verstappen untuk merebut gelaran pada awal musim namun penambahbaikan dilakukan Red Bull terhadap jentera, nyata memberikan kelebihan buat mereka di sepanjang musim.

Sementara itu, juara dunia empat kali, Sebastian Vettel, pemandu pasukan Aston Martin yang akan bersara selepas 16 tahun menyertai F1, berada di tempat ke-10. Masalah hidrolik turut menyaksikan, Lewis Hamilton (Mercedes) gagal menemui garisan penamat. - AP

Berita Harian X