Rabu, 16 November 2022 | 8:09pm
Perlumbaan 'BRAAAP 2 Hours Endurance 2022' akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang pada 11 Disember ini.
Perlumbaan 'BRAAAP 2 Hours Endurance 2022' akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang pada 11 Disember ini.

44 pasukan berentap 'BRAAAP 2 Hours Endurance 2022'

SEPANG: Sebanyak 44 pasukan sudah mengesahkan penyertaan dalam perlumbaan 'BRAAAP 2 Hours Endurance 2022' yang pertama kali berlangsung di negara pada bulan depan.

Perlumbaan itu bakal menyaksikan saingan grid penuh pada 11 Disember ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang menjanjikan pentas pertarungan hebat semua pelumba.

Ketua penganjur merangkap Presiden BRAAAP Motorsports, Azuan Izadee menjelaskan pihaknya amat teruja dan terharu dengan sambutan yang cukup memberangsangkan itu.

"Ia menguatkan semangat kami bukan saja untuk menjadikan perlumbaan BRAAAP 2 Hours Endurance 2022 ini sebagai acara tahunan, tetapi sebagai acara perdana dalam kalendar sukan permotoran negara," katanya.

Eksklusif untuk jentera kapcai atau moped dan 'sportbike' 150cc hingga 400cc, acara itu bakal menampilkan perlumbaan perdana 'endurance' 2 jam dan perlumbaan 'sprint' lap sebagai perlumbaan sokongan.

Penyertaan perlumbaan itu dibuka kepada pelumba professional dan amatur tempatan serta beberapa pelumba jemputan dari luar negara.

Pelumba amatur adalah dalam kalangan mereka yang mempunyai lesen perlumbaan sah dikeluarkan Persatuan Pemotoran Malaysia (MAM).

Kategori 'pelumba professional' pula merujuk kepada mereka yang pernah menyertai kategori perdana Kejohanan Cub Prix Malaysia, Malaysian Superbike Championship dan kejohanan antarabangsa seperti MotoGP, Asia Road Racing Championship, kejuaraan remaja antarabangsa CEV dan FIM Asia Supermoto.

Pelumbaan itu juga bakal membabitkan beberapa pelumba jemputan dari negara jiran termasuk Thailand, Indonesia, Taiwan dan Filipina bagi memberi saingan kepada pelumba tempatan di samping dapat mempromosikan sukan permotoran Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Berita Harian X