Selasa, 15 November 2022 | 8:50pm
Saingan S1K Endurance Race yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang tahun lalu. - Foto ihsan SIC
Saingan S1K Endurance Race yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang tahun lalu. - Foto ihsan SIC

S1K Endurance Race gegar Sepang hujung minggu ini

KUALA LUMPUR: Edisi ke-14 Sepang 1,000KM (S1K) Endurance Race di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 17, 18 dan 20 November ini menerima penyertaan maksimum sebanyak 77 kereta.

SIC dalam kenyataan memaklumkan sebagai penamat untuk kalendar perlumbaan 2022, edisi itu menyaksikan penyertaan tertinggi sejak 2019 termasuk daripada pelumba Singapura dan Indonesia, selepas kelonggaran sekatan perjalanan akibat COVID-19.

Pelumba akan bersaing dalam dua kelas iaitu 'M Production' dan 'S Production' bagi kereta keluaran bawah 1600cc.

"Bagi tahun ini, latihan bebas akan diadakan pada Khamis manakala sesi kelayakan pada Jumaat. Perlumbaan akan bermula pada Ahad dari 9.30 pagi dan berakhir pada 6.30 petang dengan jumlah 181 pusingan," menurut SIC.

Pada 2021, pasukan Privateer diketuai Leona Chin dan rakan sepasukan, Mohd Nasri Md Said, Tham Yik Choon dan Akina Teo meraih juara M Production manakala kategori S Production dimenangi Lai Wee Sing dan Calvin Damian Wong daripada pasukan R Engineering.

Menurut SIC, kemasukan ke grandstand adalah percuma manakala tiket masuk ke paddock berharga RM106.

- BERNAMA

Berita Harian X