Jumaat, 30 September 2022 | 5:14pm
Pelumba ONEXOX BMW TKKR Team, Azlan Shah Kamaruzaman ketika berkunjung ke Balai Berita, Bangsar Kuala Lumpur, pada Rabu lalu. - Foto NSTP/Yazit Razali.
Pelumba ONEXOX BMW TKKR Team, Azlan Shah Kamaruzaman ketika berkunjung ke Balai Berita, Bangsar Kuala Lumpur, pada Rabu lalu. - Foto NSTP/Yazit Razali.

Azlan mahu tinggalkan ARRC dengan gelaran kejuaraan

KUALA LUMPUR: Ikon sukan permotoran, Azlan Shah Kamaruzaman bakal melepaskan karier sebagai pelumba pada tahun 2024 dengan saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim depan menjadi medan untuknya mengakhiri perjuangan dengan 'kegembiraan'.

Azlan berkata, dia mahu menamatkan karier di saingan kompetitif dengan meraih gelaran Asia buat kali keempat pada musim depan sekali gus meneruskan momentum untuk 'menjinakkan' jentera BMW 1000 RR yang digunakannya bersama pasukan ONEXOX BMW TKKR Team musim ini.

Azlan mempunyai tiga gelaran di pentas kejuaraan Asia itu dengan meraih dua gelaran dalam kelas SuperSports 600cc pada tahun 2013 dan 2017 sebelum muncul sebagai pelumba pertama menjulang trofi ASB1000cc yang mula diperkenalkan pada 2019.

"(Untuk gelaran keseluruhan ASB1000cc musim ini) Sudah 'berkecai'," kata Azlan yang pada ketika ini mengumpul 33 mata untuk berada di tangga ke-10 keseluruhan kelas perdana berkenaan.

"Cuma tahun ini, kita cuba memperbaiki penyelarasan motosikal, dapatkan data. Saya akan berusaha pada baki dua pusingan musim ini untuk dapatkan podium dan selepas itu, memulakan 'buku baharu' bagi tahun depan.

"Saya harap tahun depan, sekiranya masih dengan pasukan ini, saya akan cuba mendapatkan gelaran juara keseluruhan. Saya akan memberikan tempoh setahun lagi untuk dapatkan gelaran dan selepas itu mengucapkan selamat tinggal kepada ARRC.

"Saya mahu memberikan tumpuan penuh kepada pasukan saya (AS25 Academy Racing Team di Kejuaraan Cub Prix). Jadi impian saya adalah untuk mengejar satu lagi kejuaraan dan selepas itu bersara untuk memberikan fokus kepada pasukan saya sendiri serta membangunkan pelumba muda.

"Masih boleh berjumpa saya di MSBK (Kejuaraan Superbike Malaysia) dan yang lain-lain tetapi bukan di ARRC."

Pusingan 4 ARRC dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang dari 6 hingga 9 Oktober ini sebelum kemuncak musim 2022 bertempat di Litar Antarabangsa Chang, Thailand pada November.

Carta keseluruhan kelas ASB1000cc pada ketika ini diungguli pelumba SDG Motor Sports HARC-Pro Ph. dari Jepun, Haruki Noguchi yang mengumpul 124 mata manakala pelumba negara Zaqhwan Zaidi (Honda Asia-Dream Racing with SHOWA) kedua, 111 mata.

Berada di tempat ketiga adalah seorang lagi wakil negara, Kasma Daniel Kasmayudin dari YAMAHA GEN BLU Racing Team ASEAN yang mengumpul 84 mata.

Berita Harian X