Rabu, 28 September 2022 | 9:44pm
Presiden dan CEO Kumpulan PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik (dua kiri) menandatangani memorandum persefahaman dengan Prinsipal Pasukan dan CEO Mercedes-AMG PETRONAS F1 Team, Toto Wolf di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
Presiden dan CEO Kumpulan PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik (dua kiri) menandatangani memorandum persefahaman dengan Prinsipal Pasukan dan CEO Mercedes-AMG PETRONAS F1 Team, Toto Wolf di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

PETRONAS, Mercedes-AMG F1 setuju lanjut kolaborasi

KUALA LUMPUR: PETRONAS dan Mercedes-AMG F1 (Formula Satu) bersetuju untuk pembaharuan kontrak bagi gelaran dan kerjasama teknikal bermula 2026 sekali gus melanjutkan lagi kolaborasi antara dua pihak yang sudah terjalin sejak 2010.

Kerjasama itu menyaksikan PETRONAS dan 'Silver Arrows' terus membawa cabaran membangunkan bahan api mampan yang lebih maju 100 peratus mengikut standard bagi regulasi unit 2026 daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan PETRONAS, Datuk Tengku Muhammad Taufik berkata sinergi dan cita cita yang dikongsi antara kedua-dua pihak akan membuka jalan bagi menyediakan tenaga yang lebih bersih dan mampan kepada sukan itu dan juga pelanggan mereka.

"Dengan pengalaman luas sebagai pasukan sepanjang sedekad lalu dan kemampuan teknikal serta kepakaran daripada gabungan bakat sedia ada, PETRONAS sentiasa menantikan untuk melakar lembaran baharu dengan fokus terhadap bahan api lebih maju untuk Petronas dan pelanggannnya.

"Bersama rakan kongsi kami, PETRONAS akan sentiasa berusaha dengan Penyelesaian Teknologi Bendalir menerusi cara yang inovatif. Usaha keras kami akan lebih mampan kerana kami menuju ke arah masa depan dengan karbon lebih rendah," katanya.

Terdahulu, perjanjian itu ditandatangani oleh Tengku Muhammad dan Prinsipal merangkap CEO Mercedes-AMG F1, Toto Wolff.

Wolff berkata PETRONAS memulakan pembangunan untuk bahan api lebih maju dan sudahpun diuji dengan unit kuasa masa depan.

"Bermula 2026, bahan api mampan yang lebih maju akan menjadi tumpuan terhadap prestasi F1 di mana kita berpeluang untuk memperagakan kepakaran menerusi unit kuasa dan Penyelesaian Teknologi Bendalir PETRONAS," katanya.

Baru baru ini, Majlis Motor Sport Dunia FIA meluluskan regulasi unit kuasa baharu di mana dua petunjuk utama membabitkan peningkatan kuasa elektrik dan bahan api 100 peratus lebih mampan berkuatkuasa bermula musim 2026.

- BERNAMA

Berita Harian X