Rabu, 28 September 2022 | 8:04pm
President dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan PETRONAS, Datuk Tengku Muhammad Taufik (dua kiri) bersama pemandu F1 Mercedes AMG PETRONAS, Lewis Hamilton (kiri) dan George Russell (kanan) ketika sidang media di Hotel Mandarin Kuala Lumpur, hari ini. Hadir sama Prinsipal Pasukan dan CEO Mercedes-AMG PETRONAS F1 Team, Toto Wolf. - Foto BERNAMA

Litar Sepang tetap dalam ingatan Hamilton

KUALA LUMPUR: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menyimpan 1,001 kenangan buat juara dunia tujuh kali Formula Satu (F1) dari pasukan Mercedes-AMG PETRONAS, Lewis Hamilton.

Hamilton berkata SIC mempunyai daya tarikan tersendiri dan sehingga sekarang, pelumba berusia 37 tahun itu masih merasai ketiadaan litar berkenaan dalam kalendar perlumbaan F1.

"Litar terbabit menjanjikan pemanduan yang menakjubkan, malah boleh dikatakan cukup epik kepada mereka yang pernah beraksi di sana (SIC)," kata Hamilton pada sesi bersama media di sini, hari ini.

"Saya masih ingat pada perlumbaan pertama di SIC pada 2007, ketika itu menamatkan perlumbaan di tempat kedua. Selain perlu berjalan jauh, saya juga agak sukar untuk keluar daripada jentera. Ia pengalaman yang tak dapat dilupakan."

Untuk rekod, Hamilton yang memulakan karier sebagai pelumba F1 pada 2007 sudah meraih tujuh gelaran dunia iaitu masing-masing pada 2008, 2014, 2015, 2017, 2018, 2019 dan 2020.

Dengan berbaki enam perlumbaan musim ini, Hamilton sudah mengumpul 168 mata untuk berada di tangga keenam keseluruhan manakala Max Verstappen yang mewakili pasukan Red Bull Racing RBPT mendahului carta dengan 335 mata.

"Saya tetap yakin mampu meraih posisi utama pada baki enam lagi perlumbaan namun jika tidak berjaya bukanlah bermakna berada di pengakhiran karier," katanya.

Kali terakhir SIC berada dalam kalendar F1 adalah pada 2017 selepas 19 tahun penganjurannya di negara ini.

Berita Harian X