Ahad, 7 Ogos 2022 | 7:12pm
Azroy merekodkan kejuaraan pertama musim pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 selepas mengungguli pusingan keenam kategori CP150 di Litar Sepang Utara hari ini
Azroy merekodkan kejuaraan pertama musim pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 selepas mengungguli pusingan keenam kategori CP150 di Litar Sepang Utara hari ini

Azroy raih kemenangan pertama di Sepang

KUALA LUMPUR: Pelumba Honda Yuzy Idemitsu, Azroy Hakeem Anuar merekodkan kejuaraan pertama musim ini pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 selepas mengungguli pusingan keenam kategori CP150 di Litar Sepang Utara, hari ini.

Azroy yang pada suatu ketika 'jatuh' di kelompok belakang, bagaimanapun berjaya bangkit di pusingan terakhir sebelum 'memecut' di selekoh terakhir untuk menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat dengan catatan masa 14 minit 29.364 saat.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju, Md Haziq Md Fairues mengakhiri perlumbaan di tempat kedua, manakala Md Akid Aziz dari pasukan ONEXOX TKKR Racing ketiga.

"Saya berterima kasih kepada pasukan kerana mereka mendapatkan penyelarasan yang baik untuk perlumbaan tadi.

"Perlumbaan hari ini sememangnya sengit dan saya hanya mencari jalan untuk menguasai litar," kata Azroy.

Sementara itu, saingan kategori CP125 pula menyaksikan dominasi pelumba pasukan ONEXOX TKKR Racing Team, Md Shafiq Rasol yang muncul selaku juara.

Md Syafiq Rasol muncul juara kategori CP125
Md Syafiq Rasol muncul juara kategori CP125

"Saya bermula di petak ke-10, tetapi berjaya menempatkan diri dalam kelompok hadapan selepas itu. Sepanjang perlumbaan, saya hanya cuba mengawal kelajuan dan mempertahankan kedudukan saya," kata Shafiq.

Dia mengatasi pelumba pasukan ONEXOX Racing Team, Abdullah Qayyum Abd Razak yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing ketiga.

Kategori Wira KBS pula menyaksikan pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing, Md Syamil Amsyar Md Iffende muncul juara, manakala dua lagi rakan sepasukannya, Md Adam Haikal Jahar dan Md Danish Aiman Zamrul masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.

Berita Harian X