Sabtu, 16 Julai 2022 | 7:09pm
Pelumba pasukan Honda Yuzy Idemitsu, Azroy Hakeem Anuar. - Foto ihsan Cub Prix
Pelumba pasukan Honda Yuzy Idemitsu, Azroy Hakeem Anuar. - Foto ihsan Cub Prix

Azroy sambar petak pertama CP150 Cub Prix Malaysia

KUALA LUMPUR: Pelumba pasukan Honda Yuzy Idemitsu, Azroy Hakeem Anuar menyambar petak utama selepas mencatatkan masa terpantas dalam kategori CP150 pada sesi kelayakan Pusingan 5 Kejuaraan Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 di Litar Jempol, Negeri Sembilan, hari ini.

Azroy merakam masa 44.119 saat (s) bagi mengatasi pencabar terdekatnya, Md Izzat Zaidi Md Salehan daripada pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing yang menamatkan saingan di kedudukan kedua dengan catatan 44.130s.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Haziq Md Fairues pula akan memulakan perlumbaan esok di petak ketiga selepas mencatat 44.336s.

"Sesi kelayakan hari ini berjalan lancar dengan keadaan jentera yang bagus. Pada awal sesi berkenaan, saya cuba membawa jentera saya dengan lebih laju dan berjaya mencatatkan masa baru.

"Malangnya, saya juga ditimpa kemalangan kerana saya melebihi had tetapi bernasib baik kerana tidak cedera. Bagi perlumbaan esok, saya akan bekerja keras dan berharap dapat menaiki podium," kata Azroy.

Sementara itu, dalam saingan kategori CP125, pelumba pasukan Honda KC Racing, Md Haziq Md Hamdan mengungguli saingan kelayakan apabila merakam masa terpantas dengan catatan 46.681s.

Pelumba ONEXOX TKKR Racing, Md Syafiq Rasol berada di kedudukan kedua dengan catatan 46.718s manakala Md Aliff Danial Md Asri daripada pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor ketiga dengan catatan 46.839s.

Bagi kategori Wira KBS, tiga pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing mendominasi kedudukan tiga teratas dengan Md Danish Aiman Zamrul muncul terpantas dengan catatan 47.598s untuk mengatasi rakan sepasukan, Md Syamil Amsyar Md Iffende kedua (47.714s) dan Md Adam Haikal Jahar ketiga (47.726s).

Berita Harian X