Jumaat, 24 Jun 2022 | 11:39am
Pelumba Tobaki Pink Racing Team, Muhammad Harith Farhan Baharin (dua dari kanan) mahu berada di podium Kejuaraan Cub Prix Malaysia pusingan 4 di Litar Permotoran Gong Badak, esok. - NSTP/Malik Muhamad
Pelumba Tobaki Pink Racing Team, Muhammad Harith Farhan Baharin (dua dari kanan) mahu berada di podium Kejuaraan Cub Prix Malaysia pusingan 4 di Litar Permotoran Gong Badak, esok. - NSTP/Malik Muhamad

Harith Farhan tekad buru podium di laman sendiri

KUALA TERENGANU: Pelumba meningkat naik pasukan Tobaki Pink Racing Team, Muhammad Harith Farhan Baharin tekad untuk memburu podium pada Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 di Litar Permotoran, Gong Badak, esok.

Beraksi di laman sendiri, ianya bakal menjadi tonik berharga buat pelumba muda berusia 23 tahun kelahiran Kampung Bukit Besar, Kuala Terengganu itu untuk membuktikan kejaguhannya bersama rakan sepasukan, Saiful Azhary Mohamad dengan pasukan baharunya itu musim ini.

Bagaimanapun bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu itu yang bakal beraksi dalam kelas CP 125, sedar saingan sengit pasti hadir daripada pesaingnya walaupun litar yang terletak di Gong Badak itu sudah menjadi 'makanannya'.

"Sejujurnya beraksi di kampung sendiri sudah pasti mendatangkan aura yang tersendiri di tambah dengan kehadiran keluarga, rakan-rakan dan juga peminat setia selain saya sudah membuat persiapan rapi dari segi fizikal dan mental.

"Jadi impian saya bukan setakat untuk memburu podium, tapi meraih tempat pertama dalam pusingan keempat itu kerana litar berkenaan amat saya gemari ditambah pula sudah biasa walaupun akui begitu mencabar, saya dan rakan akan buat yang terbaik.

"Namun saya perlu berhati-hati dengan cabaran yang bakal diberikan pelumba lain selain berdoa strategi yang diatur menjadi serta tiada kejadian buruk menimpa jentera," katanya.

Pada saingan pusingan kedua di Litar Lumba Tangkak, Johor pada 15 Mei lalu, Harith Farhan berjaya meraih kedudukan ketiga, bagaimanapun pusingan pertama dan ketiga di Sepang, pelumba yang menyasarkan kejuaraan Asia Road Race Championship (ARRC) di Jepun, Ogos depan gagal meraih sebarang podium.

Sementara itu pemilik dan pengurus pasukan, Nur Atikah Azwar berkata, beliau meletakkan keyakinan dua pelumba harapannya itu mampu menghadirkan kecerian buat kem pasukannya.

"Kelebihan beraksi di tempat sendiri sudah pasti menambah semangat buat Harith Farhan, harap dia mampu peragakan aksi terbaik, kita sudah siapkan jentera sebaik mungkin, jadi tugas kita serahkan kepada pelumba, lagipun tahun lalu Harith Farhan berjaya menduduki tempat ketiga di litar Terengganu.

"Begitu juga dengan Saiful, saya percaya dia mampu gegarkan litar Terengganu kerana dia ada potensi untuk melangkah lebih jauh seperti Harith Farhan," katanya.

Berita Harian X