Khamis, 23 Jun 2022 | 8:11pm
 Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Nazirul Izzat Md Bahauddin.
Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Nazirul Izzat Md Bahauddin.

Nazirul mahu kekal rentak di Terengganu esok

KUALA LUMPUR: Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Nazirul Izzat Md Bahauddin mahu mengekalkan momentum prestasinya untuk meraih penamat terbaik di Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix Malaysia yang bakal membuka tirai di Litar Terengganu, esok.

Nazirul yang memenangi Pusingan 3 di Litar Antarabangsa Sepang (Selatan) dalam kelas CP150 sebelum ini berkata, dia dan pasukan harus mencari pelarasan motosikal terbaik bagi menghadapi cabaran di Litar Terengganu yang disifatkan teknikal.

"Saya akan pastikan stamina berada di tahap terbaik," katanya. "Saya harus lebih fokus kerana Litar Terengganu agak kecil dan memerlukan kemahiran teknikal. Saya akan bekerjasama dengan mekanik untuk mencari pelarasan motosikal yang terbaik."

Pelumba berusia 22 tahun yang sudah meraih tiga kemenangan dalam kelas perdana berkenaan sejak 2019 itu turut menjangkakan persaingan sengit bakal diterimanya di Terengganu sekali gus menuntut dirinya untuk lebih fokus lagi.

"Semua pelumba juga sangat berpengalaman. Jadi perancangan saya cuma untuk memberikan perhatian penuh dan bersama pasukan saya. Saya akan berusaha untuk mengutip mata supaya dapat mengekalkan kedudukan dalam kelompok tiga teratas," katanya.

Selepas tiga pusingan musim 2022, Nazirul kini berada di tangga kedua keseluruhan dengan 54 mata manakala Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing) mendahului carta, 59 mata.

Nazirul juga berkelebihan 13 mata di depan penghuni tangga ketiga yang juga rakan sepasukan Afif, Md Izzat Zaidi Md Salehan yang pada ketika ini mengumpul 41 mata.

Sementara itu, pemilik pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Yong Ying Hoe mengharapkan kejayaan berada di pentas podium sekali lagi dapat dihasilkan pasukan di Terengganu.

"Kam akan buat yang terbaik untuk meningkatkan lagi kemampuan jentera kami berdasarkan data yang diperoleh. Untuk saingan kali ini, sudah pasti kami akan berjuang untuk kemenangan di podium," katanya.

Berita Harian X