Isnin, 20 Jun 2022 | 8:00pm
Pelumba negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril (kanan) ketika perlumbaan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2022 di Litar Sachsenring, Jerman, hujung minggu lalu. - Foto ihsan Danial Syahmi.
Pelumba negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril (kanan) ketika perlumbaan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2022 di Litar Sachsenring, Jerman, hujung minggu lalu. - Foto ihsan Danial Syahmi.

Danial puas tamatkan dua perlumbaan MotoGP Rookies Cup

KUALA LUMPUR: Pelumba negara dalam pembikinan, Danial Syahmi Ahmad Shahril puas dapat menemui garisan penamat dalam kedua-dua perlumbaan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2022 di Litar Sachsenring, Jerman, hujung minggu lalu dalam kelompok menawarkan mata.

Danial berkata, walaupun berdepan beberapa isu ketika kedua-dua perlumbaan namun dia bersyukur dapat menemui garisan penamat sekali gus meletakkan dirinya berada di kedudukan ke-13 daripada 26 pelumba dalam carta keseluruhan ketika ini.

Pelumba berusia 19 tahun itu menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-10 meskipun bergelut dengan masalah brek sebelum menemui penamat di tempat ke-13 dalam keadaan pesaing di kelompok hadapan menggunakan percaturan berbeza.

"Pada Perlumbaan 1, semuanya berjalan lancar. Begitupun pada permulaan saingan itu agak sukar tetapi saya mempunyai keyakinan untuk mengekori kelompok depan. Saya cuba beri saingan di depan tetapi pada pertengahan perlumbaan, saya mengalami masalah brek dan ia menyukarkan saya mengawal jentera.

"Pada Perlumbaan 2 pula, saya mengalami masalah pada awal saingan, motosikal menjadi berat kerana kami memakai 'sprocket' berat dan ia menyukarkan untuk mengekori kelompok depan.

"Apabila saya 'buka minyak', saya agak ketinggalan dengan kelompok kerana yang depan mungkin menggunakan sprocket ringan. Selain itu, angin datang dari arah depan, jadi ia menyukarkan saya.

"Apapun, secara keseluruhan, saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar. Saya dapat mengutip mata dan itu paling penting buat saya untuk kekal berada dalam kelompok 15 terbaik (keseluruhan)," katanya.

Saingan musim selepas ini dijadual berlangsung di Litar Red Bull Ring, Spielberg, Austria dari 20 hingga 21 Ogos ini dan bagi Danial Syahmi, dia mahu memburu penamat dalam kelompok lima terbaik di sana.

"InsyaAllah, saya akan cuba sehabis baik untuk berada dalam kelompok lima terbaik dan itu adalah sasaran yang saya letakkan," katanya.

Berita Harian X