Ahad, 19 Jun 2022 | 8:21pm
(Dari kiri) Pengarah Pasukan ALS Motorsports, Syamsul Bakhtiar Esa; Ketua Pegawai Eksekutif Ftw Racing, Hairolsham Abu Bakar; Pengurus Teknikal Pasukan ALS Motorsports, Muhammad Hirev Fazly Ismail; Muhammad Hakimi, T Phatthipat, L Dharwin; Pengarah Teknikal ALS Motorsports, Sha'are Mat Rani dan Pengurus Pasukan ALS Motorsports, Nur Liyana Fazlien Sha'are ketika majlis penyerahan penajaan Ftw Racing, baru-baru ini.
(Dari kiri) Pengarah Pasukan ALS Motorsports, Syamsul Bakhtiar Esa; Ketua Pegawai Eksekutif Ftw Racing, Hairolsham Abu Bakar; Pengurus Teknikal Pasukan ALS Motorsports, Muhammad Hirev Fazly Ismail; Muhammad Hakimi, T Phatthipat, L Dharwin; Pengarah Teknikal ALS Motorsports, Sha'are Mat Rani dan Pengurus Pasukan ALS Motorsports, Nur Liyana Fazlien Sha'are ketika majlis penyerahan penajaan Ftw Racing, baru-baru ini.

3 wakil negara berentap Kejuaraan Motocross Dunia MXGP

KUALA LUMPUR: Buat kali pertama, Malaysia bakal mempunyai tiga wakil untuk beraksi pada Kejuaraan Motocross Dunia MXGP yang dijadual berlangsung di Samota-Sumbawa, Indonesia pada 24 hingga 26 Jun ini.

Penyertaan T Pathipat, Muhammad Hakimi Iroly dan L Dharwin atas tiket 'wildcard' pada pusingan ke-12 musim ini, bakal memberikan pendedahan berguna buat tiga pelumba muda ini memperoleh pengalaman bersaing dengan peserta handalan dunia.

Bagi Hakimi, 19, dia begitu teruja apabila namanya bakal terpahat sebagai antara wakil negara pertama menyertai saingan motocross berprestij dunia itu meskipun sedar saingan bakal dihadapinya bukan sesuatu yang mudah.

"Perasaan itu agak mendebarkan kerana ini kali pertama kami mewakili Malaysia ke MXGP, satu perlumbaan antarabangsa. Boleh dikatakan, persiapan itu agak singkat namun kami akan cuba melakukan yang terbaik.

"Kalau diikutkan, trek di sana tak sama seperti di Malaysia. Trek di sana bertaraf dunia, jadi tak ada trek di Malaysia sama seperti di sana. Ini bakal menjadi cabaran juga selain trek di sana lebih panjang iaitu dalam dua atau tiga kilometer (km).

"Penyertaan ini juga adalah yang pertama kali buat saya selepas menyertai kejohanan di peringkat Asia pada 2017," kata Hakimi yang tidak meletakkan sasaran tinggi selain hanya mahu menamatkan perlumbaan di sana nanti.

Sebagai memperkemaskan persiapan ketiga-tiga pelumba yang mewakili ALS Motorsports ini, mereka turut menerima sumbangan kelengkapan sut lengkap perlumbaan dari Ftw Racing - sebuah syarikat yang sudah 11 tahun bertapak di Malaysia.

"Kami berbangga kerana mereka mewakili Malaysia dan kami terpanggil untuk memberikan bantuan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Ftw Racing, Hairolsham Abu Bakar. "Kami harap mereka dapat mempamerkan prestasi yang baik nanti.

"Dalam sukan ini yang paling mahal adalah motosikal dan keduanya, kelengkapan pelumba dan ketiga, perbelanjaan mereka. Paling tidak, tajaan ini dapat mengurangkan kos penyertaan mereka dalam kejohanan ini.

"Selain itu, kami juga sentiasa terbuka untuk membantu pelumba yang mewakili Malaysia dan sekiranya ada, kami akan sokong sepenuhnya. Dari sudut sasaran itu, bagi saya cukup untuk mereka menerima pendedahan untuk pergi lebih jauh memandangkan ini adalah kali pertama mereka sertai MXGP."

Berita Harian X