Ahad, 19 Jun 2022 | 7:10am
Max Verstappen memandu jentera Oracle Red Bull Racing RB18 miliknya dalam keadaan basah pada Grand Prix Kanda dekat Circuit Gilles Villeneuve, Montreal, Quebec. - AFP
Max Verstappen memandu jentera Oracle Red Bull Racing RB18 miliknya dalam keadaan basah pada Grand Prix Kanda dekat Circuit Gilles Villeneuve, Montreal, Quebec. - AFP

Verstappen sambar petak depan GP Kanada

MONTREAL: Juara dunia dan pendahulu kejuaraan, Max Verstappen memandu dengan kepakaran tersendiri dalam keadaan basah bersama jentera Red Bull hari ini bagi memastikan petak pendahulu Grand Prix Kanada.

Dalam sesi kelayakan yang mendebarkan itu, pemandu Belanda berusia 24 tahun itu mencatat masa sepusingan terpantas satu minit 21.299 saat dan menewaskan pencabar utamanya yang juga juara dunia dua kali, Fernando Alonso dari Alpine.

Verstappen akan memulakan perlumbaan ke-150 dari petak utama selepas meraih petak pendahulu ke-15 dalam usaha mengejar kemenangan ke-26 dalam kariernya.

Petak pendahulu diraihnya menamatkan catatan empat kali berturut-turut dicipta Charles Leclerc yang akan memulakan perlumbaan esok dari petak belakang kerana menggunakan unit kuasa baharu pada jentara Ferrari miliknya.

"Kami kekal tenang, kami tidak melakukan kesilapan, jadi sudah tentu saya sangat gembira, bersama petak pendahulu di sini dan kerana kembali berada di sini, di Montreal," kata Verstappen.

Pemandu berusia 40 tahun, Alonso membuat pemanduan terbaik pada pusingan terakhir untuk menggembirakan penonton dan mengatasi rakan senegara, Carlos Sainz dari Ferrari yang berkedudukan ketiga di depan Lewis Hamilton dari Mercedes.

"Ia sesuatu yang hebat. Ia minggu yang sukar dipercayai setakat ini buat kami, terima kasih kepada litar basah. Jentera menakjubkan," kata Alonso. - AFP

Berita Harian X