KUALA LUMPUR: Pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayudin mencetuskan kebangkitan sensasi untuk menjuarai perlumbaan pertama Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.
Pelumba YAMAHA GEN BLU Racing Team ASEAN itu memulakan saingan kategori Asian Superbike 1000cc (ASB1000) di petak pertama namun gagal mengekalkan momentum apabila dipintas selepas pusingan pertama oleh Haruki Noguchi dan Zaqhwan Zaidi yang memimpin perlumbaan sehingga pusingan tujuh.
Bagaimanapun, Kasma mempamerkan 'magisnya' apabila berjaya memintas Haruki selepas pusingan kelapan sekali gus menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat dengan catatan masa 25 minit 44:610 saat (s).
Haruki dari pasukan SDG Motor Sports HARC-PRO mengakhiri perlumbaan di tempat kedua dengan catatan 25:47:125s manakala pelumba YAMAHA Thailand Racing Team, Apiwath Wongthananon ketiga dengan 25:47:391s.
"Pertama sekali, saya berterima kasih kepada pasukan kerana menyediakan jentera yang menakjubkan. Kawalan dan prestasi jentera kali ini sangat luar biasa.
"Ia perlumbaan yang sengit terutama dengan Haruki dan Zaqhwan. Pada permulaan, sukar untuk mencari peluang untuk mencelah sehinggalah suatu ketika saya nampak peluang di pertengahan perlumbaan dan saya manfaatkan sebaiknya," katanya sejurus tamat perlumbaan.
Sementara itu, dalam kategori SuperSport 600 (SS600), Md Ibrahim Md Norrodin dari pasukan SIC Racing muncul juara apabila pertama melintasi garisan penamat dengan catatan 21:52:255s.
Dia mengatasi bekas juara dunia Moto3, Khairul Idham Pawi yang membawa cabaran pasukan Boon Siew HONDA Racing Team dan rakan sepasukannya, Azroy Hakeem Anuar dengan masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.
Keputusan
Lima terbaik kategori ASB1000
1. Kasma Daniel Kasmayudin, YAMAHA GEN BLU Racing Team ASEAN, 25:44:610s
2. Haruki Noguchi, SDG Motor Sports HARC-PRO Ph., 25:47:125s
3. Apiwath Wongthananon, YAMAHA Thailand Racing Team, 25:47:391s
4. Md Zaqhwan Zaidi, HONDA Asia-dream Racing with SHOWA, 25:48:010s
5. Anupab Sarmoon, YAMAHA Thailand Racing Team, 25:48:264s
Kategori SS600
1. Md Ibrahim Md Norrodin, SIC Racing, 21:52:255s
2. Khairul Idham Pawi, Boon Siew HONDA Racing Team, 21:52:789s
3. Azroy Hakeem Anuar, Boon Siew HONDA Racing Team, 21:52:987s
4. Md Helmi Azman, Boon Siew HONDA Racing Team, 21:53:877s
5. Andi Farid Izdihar, ASTRA HONDA Racing Team, 21:54:810s
Kategori AP250
1. Andy Muhammad Fadly, Motul Sniper Manual Tech Racing Team, 19:40:517s
2. Rheza Danica Ahrens, ASTRA HONDA Racing Team, 19:41:078s
3. Aiki Iyoshi, Motul Sniper Manual Tech Racing Team, 19:41:169s
4. Md Adenanta Putra, ASTRA HONDA Racing Team, 19:42:796s
5. Anggi Setiawan, YAMAHA Racing Team, 19:42:843s
Kategori UB150
1. Md Hafiza Rofa, ONEXOX TKKR Racing Team, 15:43:919s
2. Wahyu Aji Trilaksana, ONEXOX TKKR Racing Team, 15:44:011s
3. Gupita Kresna, 4S1M YAMAHA Racing Team, 15:44:050s
4. Ahmad Fazrul Sham, YAMALUBE GEN BLU AHM Motor Sports, 15:44:155s
5. Ahmad Afif Amran, Cardinals Racing Team Malaysia, 15:44:158s