Khamis, 14 April 2022 | 1:15pm
Adam Khalid akan menyambung pelajaran di UK selain meneruskan karier dalam perlumbaan kereta.
Adam Khalid akan menyambung pelajaran di UK selain meneruskan karier dalam perlumbaan kereta.

Adam lebarkan karier ke UK

KUALA LUMPUR: Adam Khalid tekad menempuh laluan penuh liku selepas memilih untuk melebarkan sayap karier sebagai pemandu dan pelajar di United Kingdom (UK) bermula musim ini.

Adam, 24, bakal menyambung pelajarannya di Universiti Coventry dan pada masa sama menyertai pasukan Team Aston Martin bagi mengharungi musim penuh Kejuaraan British GT 2022 yang juga fasa permulaannya sebelum mencapai cita-cita beraksi di saingan 24 jam Le Mans.

Dalam perancangan empat tahun Adam, dia dijadual menyertai Kejuaraan British GT bagi musim ini sebelum menyertai Siri European GT4 sehingga 2024.

Dia kemudian merancang menyertai Cabaran Dunia GT sebelum memenuhi kemuncak 'piramid impian tertingginya', 24 Jam Le Mans.

Tentunya, perancangan empat tahun ini sama sekali memerlukan peruntukan besar yang difahamkan membabitkan RM5.5 juta bagi empat tahun dan untuk musim 2022 saja, Adam memerlukan kira-kira RM1.13 juta.

"Kesukaran itu, adalah menggunakan duit sendiri dan keluarga," kata Adam. "Jadi di sini, saya merayu kepada pihak kerajaan dan juga korporat untuk membantu meringankan tanggungan Adam di sana.

"Bantulah saya untuk mencapai impian mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia. Itu adalah kekangan paling sukar untuk saya ke United Kingdom," katanya yang sudah bersedia untuk membahagikan masa antara sukan dan pelajaran.

"Saya seorang yang berdisiplin dan boleh menjaga waktu. Di sana, apa yang saya sasarkan adalah untuk menjuarai kejuaraan dan melanjutkan pelajaran.

"Yang saya mahukan sekarang adalah dapat berlumba secara kompetitif di peringkat tertinggi dan membuktikan kemampuan pemandu Malaysia. Apa yang penting saya perlu kekal fokus."

Adam bakal meneruskan pelajarannya dalam bidang pemasaran dan e-dagang selain rekaan grafik dan baginya ini adalah masa terbaik untuknya membuktikan sesuatu bukan saja kepada ahli keluarganya tetapi juga rakyat Malaysia.

"Saya ingin mencari peluang berlumba di tahap tertinggi dan bersaing dengan pemandu antarabangsa. Sementara ada di sana, saya teruskan pelajaran di universiti dan kembangkan sayap saya untuk mencari peluang berlumba di UK," katanya.

Pada musim 2020-21, Adam yang menjadi seorang daripada peserta Program Pembangunan Bakat Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pernah meraih gelaran naib juara dalam dua perlumbaan domestik iaitu Toyota Gazoo Racing dan Siri Kejuaraan Malaysia.

Adam turut pernah meraih penamat keempat terbaik di Siri TCR Asia pada 2019 dan memenagi Festival Speed Malaysia pada tahun sama.

Berita Harian X